China, 5 negara Asia Selatan bincang darurat kesihatan


Ahli Majlis Mesyuarat Negara China merangkap Menteri Luar Wang Yi menjadi tuan rumah pertemuan maya yang memfokuskan pada Covid-19 bersama Pakistan, Nepal, Sri Lanka, Bangladesh dan Afghanistan.– Gambar AFP, 28 April, 2021.

CHINA mengadakan pertemuan maya dengan lima negara Asia Selatan pada Selasa untuk membina tindak balas bersama terhadap keadaan darurat kesihatan dan membangun keupayaan untuk menghadapi cabaran masa depan.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara China merangkap Menteri Luar Wang Yi menjadi tuan rumah pertemuan yang memfokuskan pada Covid-19 bersama Pakistan, Nepal, Sri Lanka, Bangladesh dan Afghanistan.

“China dan lima negara di Asia Selatan sepakat membangunkan platform rizab untuk bekalan tindak balas kecemasan serta meningkatkan kemampuan dalam menangani krisis kesihatan awam yang besar dan meneroka kerjasama vaksin Covid-19,” lapor Agensi Anadolu memetik China Global Times.

Wang juga merujuk kepada situasi Covid-19 di India yang sedang menghadapi “tsunami” Covid-19, dan mengatakan Beijing sedia menghulurkan bantuan.

Wang mengatakan syarikat-syarikat Cina “telah mengambil tindakan aktif dengan sokongan daripada kerajaan, dan kumpulan mesin oksigen pertama telah pun tiba di India.”

India melaporkan lebih satu juta jangkitan dalam tempoh tiga hari termasuk ribuan kematian dan telah muncul sebagai pusat virus dunia yang telah melumpuhkan infrastruktur kesihatannya berikutan  kekurangan oksigen dan ruang hospital yang terhad.

Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi berkata langkah China itu telah “menyatukan mereka di satu forum, dengan memfokuskan kepada cabaran bersama Covid-19.”

“Negara-negara Asia Selatan memerlukan kerjasama serantau yang lebih besar dan forum ini memberi kita platform untuk melakukannya, khususnya untuk meningkatkan tindak balas kita terhadap Covid-19 dan kesiapsiagaan untuk keadaan darurat di masa depan. Kejayaan kami terletak pada perkongsian bersama. Kita perlu dan mesti melakukannya bersama-sama,” katanya di Twitter.  – Bernama, 28 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen