Kerajaan percepat vaksinasi di Selangor, Kuala Lumpur untuk capai imuniti kelompok


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata Selangor dan Kuala Lumpur diberi keutamaan kerana kepadatan penduduk yang tinggi serta kawasan utama bagi kegiatan ekonomi dan perniagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2021.

KERAJAAN menyegerakan usaha vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur bagi mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Kita harus mempercepat vaksinasi di negeri ini kerana kadar jangkitan yang tinggi,” katanya dalam sidang media mingguan mengenai kempen vaksinasi hari ini.

Katanya, penting mempertimbangkan fakta yang Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan kawasan utama bagi kegiatan ekonomi dan perniagaan.

Imuniti kelompok dapat dicapai apabila 80% populasi negara menerima vaksin Covid-19.

Sehingga semalam, Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di negara ini pada 50.10%.

Sebanyak 112,371 orang divaksin di Selangor dan 72,475 daripadanya sudah melengkapkan dua dos suntikan.

Di Kuala Lumpur, seramai 88,172 orang sudah menerima suntikan dengan 47,181 memperoleh dua dos.

Kadar kebolehjangkitan di Selangor atau R-naught (R0) pada 27 April, berada pada tahap 1.14 sementara Kuala Lumpur 1.23 berbanding R0 negara sebanyak 1.12.

Kadar RO menunjukkan bilangan jangkitan baharu dianggarkan yang berpunca daripada satu kes.

Sementara itu di Kelantan, Adham berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan untuk mengekang penyebaran virus.

Larangan rentas daerah dan negeri kini berkuatkuasa dan hanya sektor penting dibenarkan beroperasi di Kelantan.

Berhubung kapasiti katil di hospital, Hospital Sultan Ismail Petra sudah mencapai tahap 111% dan Hospital Tanah Merah sebanyak 100%.

Sementara itu, 95% katil di Hospital Tumpat dan 96% di Hospital Machang digunakan sementara 82% katil di Hospital Kuala Krai digunakan.

Di Sarawak, Adham berkata kerajaan negeri mengenakan sekatan perjalanan antara zon dan ujian calitan serta arahan kuarantin dikenakan bagi mereka yang memasuki negeri ini.

Selangor mendahului jumlah harian semalam dengan 750 kes, diikuti Kelantan dan Sarawak dengan masing-masing 484 dan 432 kes.

Secara keseluruhannya, negara melaporkan 2,733 kes Covid-19 semalam. – 28 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen