UCAPAN ketua paderi Julian Leow pada 2014 diambil di luar konteks dengan niat untuk menjejaskan keharmonian agama, kata Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur (CLS).
CLS mengulas video yang dimuat naik di Facebook oleh akaun dengan nama “Hud Hud Crew”, dengan memaparkan sebahagian ucapan Leow.
“Ucapan Leow disalah guna dan sengaja disalah faham atas alasan jahat dengan niat untuk menjejaskan keharmonian agama dan keamanan hidup bersama yang dinikmati masyarakat majmuk dengan pelbagai kepercayaan di Malaysia,” kata Presiden CLS Thomas Fernandez.
Fernandez menggesa pihak berkuasa berkenaan mengambil tindakan segera bagi melindungi Gereja Katolik di Malaysia dan perlindungan peribadi kepada Leow.
Posting oleh Hud Hud Crew itu mendakwa Leow dalam video berdurasi empat minit itu, bercakap tentang pelan 25 tahunnya terhadap umat Islam di Gereja St Francis Xavier di Petaling Jaya.
Posting bertajuk “Rahsia Besar: Rakaman Perancangan 25 Tahun Archbishop Katolik Kuala Lumpur Untuk Rebus Orang Islam Seperti Merebus Katak”, mendakwa Leow menggunakan analogi merebus katak untuk menggambarkan rancangannya memberi tekanan kepada umat Islam di negara ini.
Leow didakwa berkata jika katak dibaling dalam air mendidik, ia akan serta merta memberi reaksi dan melompat keluar tetapi bila diletakkan dalam air sejuk dalam periuk dengan api dinyalakan, katak itu akan diam hingga ia dimasak.
Dalam posting itu, Hud Hud Crew mendakwa rakaman video itu diserahkan kepada mereka oleh seorang ahli gereja yang enggan nama didedahkan.
Sumber itu mendakwa mahu menggagalkan rancangan Leow kerana mereka percaya ia akan mencetuskan ketegangan antara umat Islam dan penganut Kristian di negara ini. – 28 April, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen