4 kluster pendidikan antara 11 kluster baharu hari ini


Ragananthini Vethasalam

Sebanyak 11 kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini dengan empat daripadanya berkaitan dengan institusi pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 11 kluster baharu Covid-19 di mana empat daripadanya berkaitan dengan institusi pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain kluster pendidikan, terdapat juga tiga kluster berkaitan tempat kerja, tiga dari komuniti dan satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Tiga daripada empat kluster pendidikan yang dilaporkan hari ini dikesan di Selangor.

Jalan Sejati yang dikesan di sebuah institusi di Batu Caves menyaksikan 42 jangkitan dengan kes dikesan di Sepang dan Gombak.

Dua kluster lain – Persiaran Setia Murni di Petaling, Kuala Selangor dan Klang serta Jalan Puchong di Sepang dan Petaling – dikesan di sekolah.

Persiaran Setia Murni mencatatkan 14 kes sementara Jalan Puchong melaporkan 21 jangkitan.

Kluster pendidikan keempat adalah Cangkat Minden di Pulau Pinang yang mencatat 14 kes.

Tiga kluster tempat kerja adalah Jalan Padang Tembak di Kelantan yang melaporkan 37 kes, Teknologi Ayer Keroh di Melaka dengan 21 kes dan Jalan Kempas Muar di Johor menyaksikan 66 kes.

Ketiga-tiga kluster itu berkaitan dengan kilang.

Di Kanowit, Sabah, pengebumian menyebabkan 31 jangkitan di kluster Sungai Tuah.

Kluster ini diklasifikasikan sebagai jangkitan komuniti.

Dua kluster komuniti lain yang dilaporkan adalah Akar Peluru di Kedah (16 kes) dan Bandar Baru Sentul (12 kes) di Kuala Lumpur. Kedua-duanya dikaitkan dengan kes indeks simptomatik. – 27 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen