TIADA keperluan untuk menutup sekolah selama dua minggu selepas cuti Hari Raya, kata Persatuan Parent Action Group for Education (PAGE), sambil menambah bahawa beberapa hari hanya mencukupi.
Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim berkata tidak ada jaminan bahawa anak-anak akan tinggal di rumah dalam tempoh dua minggu itu sambil menambah bahawa penutupan dapat dikurangkan menjadi beberapa hari.
Beliau merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Radzi Jidin semalam bahawa sesi persekolahan akan diadakan dalam talian selama dua minggu selepas cuti Hari Raya melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).
Pelajar kemudian akan meneruskan cuti persekolahan selama dua minggu selepas itu.
“Kita mempunyai banyak cuti panjang. Kenapa kita perlukan dua minggu lagi?,” soalnya.
“Tambahan pula, apakah jaminan bahawa pelajar akan tinggal di rumah selama dua minggu? Semakin kita melanjutkan cuti sekolah, semakin besar risiko (pelajar terdedah kepada virus),” katanya.
PdPR akan berlangsung dari 16 hingga 27 Mei untuk sekolah kumpulan A (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei untuk sekolah kumpulan B (di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Selepas tempoh PdPR, pelajar akan meneruskan cuti penggal mereka dari 28 Mei hingga 12 Jun untuk sekolah kumpulan A dan 29 Mei hingga 13 Jun untuk sekolah kumpulan B. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 selepas cuti sekolah. – 27 April, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen