Dr Mahathir gesa Putrajaya dapatkan bantuan pakar tangani pandemik


Dr Mahathir Mohamad cadang kerajaan wujudkan panel doktor untuk menasihati kerajaan kerana Covid-19 dijangka berlarutan untuk jangka masa yang panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2021.

WABAK Covid-19 dijangka berlarutan untuk jangka masa yang panjang dan kerajaan perlu membangunkan kepakaran untuk menangani masalah ini, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, beliau percaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) melakukan yang terbaik untuk membendung virus itu tetapi berkata kerajaan pemerintah juga perlu melantik pakar untuk menasihatinya.

“Saya rasa kerajaan sedang melakukan yang terbaik. Tetapi ada perkara lain yang harus dilihat oleh kerajaan. Satu panel doktor harus dibentuk untuk memberi nasihat kepada kerajaan,” katanya dalam catatan di blognya hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata langkah pengurungan sewajarnya juga perlu dilakukan, sambil menambah kerajaan tidak boleh mempertimbangkan pelaksanaan pendapat yang popular.

“Susulan peningkatan kita perlu lakukan pengurungan. Ini tidak popular, tetapi sangat penting. Kerajaan tidak boleh mengharapkan populariti tetapi sepatutnya melaksanakan - sekatan dan mengawasi ia dipatuhi,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa sejak 13 hari terakhir, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan melebihi 2,000. Hanya satu hari jumlahnya di bawah 2,000.

“Kali terakhir jumlahnya di bawah 1,000 hampir sebulan yang lalu.

“Ya, keadaan sekarang serius. Tetapi pengisytiharan darurat tidak mengurangkan jumlahnya. Yang pasti, Kelantan semakin teruk,” katanya.

Malaysia menguatkuasakan darurat pada 12 Januari untuk mengekang penyebaran wabak tetapi negara sedang bersedia untuk menghadapi gelombang keempat pandemik.

Parti pembangkang mendesak Parlimen bersidang tetapi Putrajaya berkata ia hanya akan dilakukan selepas darurat berakhir pada Ogos.

Dr Mahathir menyarankan agar kerajaan lebih menggalakkan pembelian secara dalam talian, bukannya di pusat membeli-belah.

Beliau berkata membeli-belah dalam talian dapat membantu ekonomi serta menurunkan jumlah kes baharu.

“Perniagaan dalam talian harus digalakkan. Membeli-belah tidak sepatutnya digalakkan. Semua pembelian harus dilakukan secara dalam talian.

“Ini bermaksud perkhidmatan penghantaran makanan diperlukan. Banyak orang dapat pekerjaan dalam perniagaan penghantaran ini. Tetapi mereka mesti mematuhi SOP khas untuk mereka.”

Beliau memberi amaran yang gelombang virus keempat akan membebankan kakitangan barisan hadapan.

“Hospital mungkin tidak mempunyai katil mencukupi. Walaupun dalam keadaan normal pesakit terpaksa dibiarkan di koridor tanpa sokongan hayat.”

“Jika jumlahnya meningkat sekali lagi menjadi 4,000 lebih dalam sehari, dan ia pernah berlaku sebelum ini, apakah kita dapat menanganinya?” – 27 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen