TURKI semalam mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya dalam usaha membendung kenaikan kes Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.
Sekatan itu akan bermula dari 29 April hingga 17 Mei, bertujuan mengurangkan kes harian di bawah 5,000, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada sidang media selepas mesyuarat kabinet.
Perjalanan antara bandar perlu mendapat kebenaran, pengangkutan awam antara bandar akan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus, manakala persekolahan secara bersemuka akan dihentikan, katanya.
Tetapi sektor pembuatan dan makanan dikecualikan, tambah Erdogan.
Turki melaporkan 37,312 kes Covid-19 baharu, termasuk 2,716 pesakit bergejala, menjadikan jumlah kes positif di negara itu mencapai 4,667,281, menurut kementerian kesihatannya.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, angka kematian akibat virus di Turki meningkat 353 orang dengan jumlah keseluruhan 38,711, sementara jumlah pemulihan naik kepada 4,121,671 dan 48,027 kes pulih.
Turki memulakan vaksinasi besar-besaran terhadap Covid-19 pada 14 Jan setelah pihak berkuasa meluluskan penggunaan kecemasan vaksin CoronaVac China.
Sehingga kini, lebih 13,334,000 orang telah divaksin. – Bernama, 27 April, 2021.
Komen