AUSTRALIA hari ini mengumumkan larangan sementara untuk penerbangan penumpang langsung dari India apabila negara Asia Selatan itu berdepan lonjakan besar dalam jangkitan koronavirus.
Perdana Menteri Scott Morrison berkata bahawa penggantungan itu akan tetap berlaku sehingga sekurang-kurangnya 15 Mei kerana risiko perjalanan yang jelas dari India menyebabkan ribuan rakyat Australia – termasuk pemain kriket berprofil tinggi terkandas.
Negara itu mengikut langkah serupa yang dibuat oleh negara lain termasuk Kanada, Emiriah Arab Bersatu dan Britain untuk menghentikan atau menyekat penerbangan sebagai tindak balas terhadap krisis Covid-19 yang semakin meningkat.
Morrison juga berkata Australia akan menghantar bantuan perubatan termasuk tangki oksigen, alat bantuan pernafasan dan alat perlindungan diri ke India kerana sistem kesihatannya yang kurang disebabkan jumlah pesakit yang meningkat.
Negara yang mempunyai penduduk seramai 1.3 bilion orang itu mencatatkan 352,991 jangkitan baharu dan 2,812 kematian semalam – angka tertinggi sejak wabak itu bermula.
Morrison berkata India berdepan “krisis kemanusiaan yang dahsyat”.
Australia mengehadkan jumlah penerbangan dari India dalam usaha mengawal penyebaran koronavirus.
Awal bulan ini negara jiran New Zealand turut melakukan sekatan sementara untuk semua pelancong dari India.
Australia menutup sempadan antarabangsanya kepada bukan warganegara pada Mac 2020 dan mereka yang dibenarkan melancong perlu dikuarantin selama 14 hari di hotel.
Negara yang mempunyai 25 juta penduduk mencatatkan kes kurang 30,000 sejak wabak itu bermula dengan 910 kematian. – AFP, 27 April, 2021.
Komen