RAKAN sekelas yang membuat ancaman rogol terhadap Ain Husniza, 17 memohon maaf atas tindakannya, kata bapa mangsa.
Saiful Nizam Ab Wahab berkata beliau kini mempertimbangkan untuk tutup kes dan berharap ia akan menjadi pengajaran kepada semua pelajar.
“Budak-budak akan buat silap dan salah tindakan. Bila dia sanggup mengaku salah dan memohon maaf sungguh-sungguh serta berjanji untuk berubah maka kita maafkan.
“Moga jadi pengajaran yang sangat bermakna dalam hidupnya,” kata Saiful menerusi Facebook hari ini.
Minggu lalu Ain Husniza mendedahkan di media sosial bahawa seorang gurunya membuat jenaka mengenai rogol, termasuk menyatakan kepada pelajar lelaki dalam kelas berkenaan jika mahu merogol, jangan rogol budak bawah umur 18.
Susulan itu, Ain Husniza berkata dia menerima mesej audio dari rakan sekelas lelaki yang tidak suka dengan pendedahannya dan membuat ancaman rogol.
“Kalau aku dapat, aku sagat-sagat dia, tak pun aku rogol, hantar kat Thailand,” kata rakan sekelasnya dalam rakaman yang didedahkan Ain Husniza.
Ain Husniza membuat laporan polis berhubung jenaka yang dibuat oleh gurunya dan ancaman rogol oleh rakan sekelasnya.
Saifu berkata kes terhadap rakan sekelas anaknya itu diselesaikan malam tadi selepas mengadakan pertemuan dengan ibu bapa dan kakak pelajar terbabit di balai polis Sungai Buloh.
Katanya ibu bapa dan kakak pelajar terbabit terkejut dengan kenyataan yang dibuat.
“Saya tahu pasti berkecai remuk hati ibubapanya. Tapi itulah yang telah berlaku.
“Ayah mana yang tak marah bila anak jadi begitu? Dapat tahu pula guru mengajar yang bukan-bukan di sekolah.
“Ibu mana yang mahu anaknya berperangai buruk dan suka memperlekeh orang lain? Tidak ada!
“Dari perbualan dan perbincangan saya bersama ibubapa pelajar, memang dia datang dari keluarga yang baik-baik. Cukup baik namun anak ini jadi liar dalam percakapan dan pergaulan di luar pengetahuan keluarga,” katanya dalam satu lagi posting di Facebook.
Tambah Saiful banyak sebab yang menjadikan seseorang berkelakuan seperti itu.
Katanya sebahagiannya adalah dari didikan yang diterima seperti sekolah dan guru.
Saiful juga berkata ancaman rogol bukan satu perkara kelakar dan lawak.
“Walaupun kes ugut rogol kepada Ain sudah berakhir namun ia sebenarnya adalah titik mula kepada satu gerakan untuk menyedarkan masyarakat secara keseluruhan bahawa mentaliti remaja kita sangat sakit dan kita harus sama-sama merawatnya.”
“Semoga langkah dan usaha baik ini kita usahakan sama-sama.
“Kita kembalikan sekolah sebagai pusat ilmu dan adab terhormat,” katanya yang turut memohon maaf kepada guru yang terkesan. – 27 April, 2021.
Komen