Hadkan sumbangan politik, umum kepada awam, kata ahli Parlimen


Asila Jalil Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata pembahruan itu akan membantu Malaysia membendung rasuah yang kini semakin membarah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

SUMBANGAN politik dari badan korporat kepada parti politik harus dihadkan pada RM200,000 setahun dan sumbangan melebihi RM10,000 wajib dilaporkan, kata ahli Parlimen PKR Sim Tze Tzin.

Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu, pembahruan itu akan membantu Malaysia membendung rasuah yang kini semakin membarah.

Sim berkata Malaysia harus menjadikan Jerman dan Jepun sebagai contoh, di mana parti-parti politik menerima peruntukan parlimen dan semua perbelanjaan diaudit serta dilaporkan di parlimen.

“Aset-aset parti juga perlu diaudit oleh ketua aduit negara dan diumumkan kepada awam,” kata Sim ketika perbahasan di Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Shah Alam hari ini.

The Malaysian Insight semalam melaporkan kaji selidik Universiti Malaya (UM) baru-baru ini menunjukkan pengundi mahu wakil rakyat yang dipilih mempunyai integriti dan bebas rasuah.

Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga kata Sim perlu bebas melakukan kerja mereka.

“Kami cadangkan supaya anggota SPRM diberi perlindungan supaya mereka dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut.”

Pengarah Strategi Bersatu Dr Rais Husin pula berkata kerajaan PH akan memastikan pesuruhjaya-pesuruhjaya SPRM diselidik dan dilantik oleh jawatankuasa pilihan parlimen supaya mereka tidak tunduk kepada kerajaan.

Sim juga mencadangkan supaya wakil rakyat, pegawai kerajaan (gred C ke atas) dan pegawai tinggi GLC diwajibkan mengisytihar aset mereka.

PH dijangka mengumumkan calon perdana menteri dan peruntukan kerusi kepada PKR, Amanah, DAP dan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen