Neelofa, keluarga kena kompaun RM60,000


Bagi kesalahan melanggar SOP di majlis pernikahan dengan suami Haris Ismail, Neelofa dikompaun RM10,000 dan jumlah sama untuk kesalahan rentas negeri. – Gambar Instagram, 27 April, 2021.

SELEBRITI popular Neelofa, suami dan 20 lagi ahli keluarganya dikenakan kompaun RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan, lapor Astro Awani.

Laporan memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah menyebut, ia meliputi kesalahan melibatkan majlis perkahwinan dan larangan rentas negeri.

Menurutnya, Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor perlu membayar RM20,000 bagi dua kesalahan, tanpa tawaran diskaun.

Kompaun mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 itu meliputi RM10,000 bagi kesalahan melanggar SOP di majlis pernikahannya.

Zainal berkata Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan ketua pengarah kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial bagi kesalahan pertama.

Ia melibatkan kesalahan gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah.

Untuk kesalahan kedua, Neelofa dan suaminya Haris Ismail masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 tanpa tawaran diskaun.

Zainal berkata ia berkaitan kesalahan melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

Jumlah kompaun selebihnya dikenakan ke atas ahli keluarga beliau, melibatkan jumlah RM1,500 setiap individu, menurut laporan itu.

Jumlah terkumpul RM60,000 itu paling tinggi setakat ini dan mengatasi jumlah RM50,000 yang dikenakan ke atas seorang penjual burger di Kota Bharu. – 27 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen