KECAMAN membuak-buak di media sosial selepas seorang peniaga dilaporkan dikompaun RM50,000 di Kota Bharu ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengguna media sosial meluahkan rasa marah kerana melihat peniaga tersebut dianiaya dengan kompaun sebegitu tinggi dan tidak memadai dengan kesalahan dilakukan.
Kemarahan itu juga berkait dengan dakwaan sikap pilih kasih pihak berkuasa yang masih belum menyelesaikan siasatan bagi golongan kenamaan berhubung kesalahan atas undang-undang sama.
Kes itu melihatkan kompaun dikenakan pada Ahad ke atas Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, seorang peniaga burger yang didakwa beroperasi melebihi had masa yang ditetapkan.
Seorang pengguna Twitter @Tarantulas99 mempersoalkan alasan mengenakan kompaun sebegitu tinggi ke atas peniaga tersebut dan mengesyaki ia sengaja dilakukan untuk menyeksa rakyat.
“Bunyinya macam sengaja hendak seksa rakyat dengan penalti gila sebegini. Bagi seorang penjual burger dan majoriti rakyat, kompaun RM50,000 boleh tamatkan nyawanya. Hentikan!”
Seorang lagi pengguna Twitter @OrenjiOren dengan sinis membandingkan hukuman tersebut dengan denda bagi kesalahan membuka pusat hiburan tanpa lesen.
“Niaga burger depan rumah kena saman RM50,000. Buka pusat hiburan tanpa lesen saman RM5,000 saja. Hanya di Malaysia,” katanya.
Beliau menyebut demikian dengan mengaitkan laporan mengenai saman RM5,000 dikenakan ke atas sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Bandar Sunway beberapa hari lalu.
Peguam Zulhazmi Shariff pula menyatakan kesediaan untuk membela Wan Mohd Faisal tanpa bayaran dan menggesa peniaga tersebut tidak membayar kompaun terbabit.
“Kalau saya ada di Kota Bharu, saya akan tawarkan khidmat guaman percuma kepada peniaga tersebut. Jangan bayar, kita lawan.
“Walaupun kita rakyat biasa yang tiada jawatan, pangkat dan darjat tapi darjat kita amat tinggi dan utama kepada keluarga kerana kitalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga,” katanya.
Dalam kenyataan di Facebook, Zulhazmi berkata kompaun tersebut juga tidak sah kerana kadar orang persendirian hanya boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000.
Kes tersebut juga meraih kecaman Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang yang melihat kerajaan Perikatan Nasional membiarkan peniaga itu diperlakukan sedemikian rupa.
Katanya, kerajaan tiada hati perut kerana mengenakan kompaun sebegitu tinggi ke atas peniaga yang sudahpun dibeban akibat kesan pandemik.
“Kerajaan bukan saja tidak membantu tetapi menambah beban yang berat dengan menetapkan nilai maksimum kompaun yang tinggi.
“Berapa biji burger yang perlu dijual oleh Wan Mohd Faisal untuk membayar kompaun itu?”
Beliau juga kecewa kerana melihat menteri PN dan orang kenamaan yang didapati melanggar prosedur operasi standard PKP tidak dihukum atau hanya dikenakan denda ringan.
“Layanan dua darjat inilah yang menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya lagi.
Antara kes melibatkan orang kenamaan yang menjadi perhatian ialah majlis pernikahan selebriti tempatan terkenal, Neelofa pada Mac.
Gambar yang tular pada waktu itu menunjukkan para tetamu duduk berhimpit-himpit dalam majlis berkenaan.
Polis kemudian hari ini mengumumkan Neelofa, suaminya Haris Ismail dan 20 anggota keluarga dikenakan kompaun RM60,000 kerana melanggar SOP majlis kahwin dan kes larangan rentas negeri.
Dalam kes Wan Mohd Faisal pula, lelaki itu dilaporkan dikenakan kompaun segera sewaktu sedang menyediakan burger pelanggan di gerai yang terletak di hadapan rumahnya.
Namun tiada seorangpun pelanggan berada di tempat penyediaan burger tersebut di rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, kata lelaki tersebut seperti dilaporkan. – 27 April, 2021.
Komen