Merdeka Center jawab kritikan tinjauan


Tinjauan terbaharu Merdeka Center mendapati penilaian sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin stabil pada 67%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2021.

TINJAUAN media sosial tidak mewakili pengundi kerana jumlah pengguna Twitter di Malaysia terhad, kata  Merdeka Centre for Opinion Research.

“Perbandingan dengan tinjauan dalam talian oleh media sosial boleh menghasilkan keputusan mengelirukan kerana kesukaran mengendalikan bias pemilihan diri yang bermaksud kumpulan tertentu mungkin terdorong untuk memberi respons berbanding yang lain.

“Terdapat juga persoalan apakah kawalan bagi keberperwakilan sampel sudah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan di Facebook hari ini.

Tambahan pula, pengguna Twitter di Malaysia hanya merangkumi kurang daripada 5% populasi, kata Merdeka Center.

Merdeka Center menjawab kritikan terhadap tinjauan terbarunya berhubung populariti Muhyiddin Yassin yang dikatakan tidak realistik.

Walaupun terdapat aduan terhadap kerajaan baru-baru ini, Merdeka Center, dalam tinjauan terbarunya berkata penilaian sokongan terhadap Muhyiddin stabil pada 67%.

Menurut Merdeka Center, tinjauannya dilakukan melalui telefon kerana ini membolehkan mereka mengawal perwakilan responden.

“Dalam konteks tinjauan ini, responden yang sepadan dengan kriteria umur, jantina dan etnik berdasarkan profil daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya dipilih dan ditemu ramah dari setiap kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia.

“Walaupun semua tinjauan tidak bebas daripada bias seperti bias keinginan sosial, tinjauan kami memberikan ketelitian yang tinggi untuk memastikan kebolehpercayaan dengan mengawal pelbagai pemboleh ubah seperti kumpulan umur, lokasi iaitu bandar vs luar bandar berserta latar belakang sosio-ekonomi agar mempunyai perwakilan profil seboleh mungkin seperti pengundi,” kata Merdeka Center.

Walaupun tinjauan itu, kata Merdeka Center, hanya berdasarkan populariti Muhyiddin, orang ramai tidak sepatutnya keliru atau beralih kepada pertanyaan lain seperti parti mana yang harus dipilih. – 26 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen