PETUNJUK mengenai tahap wabak Covid-19 di negara ini mencatat peningkatan sejak dua minggu lalu, kata Kementerian Kesihatan.
Kes baharu meningkat 26.6% antara Minggu 15 (11 April hingga 17 April) dan Minggu 16 (18 April hingga 24 April), manakala kes kematian meningat 14.3%, menurut infografik yang disiarkan di Twitter.
Minggu 15 merekodkan 13,742 kes jangkitan baharu berbanding 17,393 kes baharu yang direkodkan pada minggu 16.
Kes kematian meningkat dari 49 kepad 56, dengan jumlah keseluruhan 1,426 setakat akhir minggu 16.
Jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi juga meningkat 20% daripada minggu pertama ke minggu seterusnya, dari 205 kepada 246.
Pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga turut meningkat 26.2% daripada 84 kepada 106.
Kapasiti ujian saringan Covid-19 meningkat daripada 382,267 yang dijalankan pada minggu ke-15 kepada 461,332 pada minggu ke-16. Ini adalah peningkatan sebanyak 20.7%.
Sehingga semalam, jangkitan baru setiap hari mencatatkan lebih dari 2,000 kes selama 11 hari berturut-turut.
2,690 kes jangkitan baharu direkodkan semalam, sekaligus meningkatkan jumlah kes aktif kepada 23,753. – 26 April, 2021.
Komen