AMERIKA Syarikat akan segera menyalurkan bekalan bahan pengeluaran vaksin, terapi, ujian, alat bantuan pernafasan dan alat perlindungan untuk dihantar kepada India ketika kuasa besar Asia Selatan itu berdepan lonjakan Covid-19, kata Rumah Putih semalam.
Negara barat termasuk Britain, Perancis dan Jerman turut menjanjikan bantuan ketika krisis Covid-19 di India meningkat mendorong peningkatan jumlah kes global ketika ini walaupun jumlah vaksin disuntik di seluruh dunia mengatasi angka satu bilion.
Ibu kota New Delhi antara yang paling terjejas dengan laporan kesesakan hospital, kekurangan oksigen, ubat-ubatan dan keluarga pesakit merayu bantuan di media sosial.
“AS sudah mengenal pastis umber bahan mentah tertentu yang sangat diperlukan untuk pembuatan vaksin Covishield dari India yang akan segera disediakan untuk India,” menurut kenyataan Rumah Putih.
Washington juga sudah “mengenal pasti bekalan terapi, alat ujian diagnostic cepat, alat bantuan pernafasan dan alat perlindungan diri (PPE) yang akan segera disediakan untuk India,” menurut kenyataan jurucakap Majlis Keselamatan Nasional Emily Horne.
Tetapi mereka tidak menyebut sama ada AS akan menghantar lebih banyak vaksin AstraZeneca ke India selepas penasihat akademik AS Anthony Fauci berkata kepada ABC semalam bahawa ia akan dipertimbangkan.
Vaksin AstraZeneca dan Johnson & Johnson disyaki menyebabkan pembekuan darah yang sangat jarang tetapi serius dalam beberapa kes, bagaimanapun diluluskan untuk kegunaan di banyak negara termasuk India.
Menteri Luar Kanada Marc Garneau menerusi Twitter semalam berkata bahawa negaranya sedia membantu dan menghubungi pihak berkuasa India untuk menentukan bagaimana Kanada dapat memberikan sokongan terbaik kepada negara itu pada masa yang diperlukan.
Pakar sudah lama memberi amaran bahawa tidak ada yang akan selamat dari Covid-19 sehingga semua orang termasuk yang berada di negara membangun, menjadikan kepentingan global bagi negara-negara kaya membantu negara-negara besar dan berpendapatan rendah seperti India memvaksinasi penduduk mereka. – AFP, 22 April, 2021.
Komen