79 sekolah di Selangor ditutup 2 hari kerana Covid-19


Sebanyak 79 sekolah di Selangor diarahkan ditutup untuk hari hari dan esok susulan pengesanan kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2021.

SEBANYAK 79 sekolah di Selangor diarahkan ditutup oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk hari ini dan esok berikutan pengesanan kes Covid-19.

Senarai sekolah dikeluarkan kepada ibu bapa semalam dengan sebilangan daripada mereka mengatakan hanya dimaklumkan pada jam 11 malam.

Menurut senarai yang dilihat oleh The Malaysian Insight, 79 sekolah berkenaan adalah di Hulu Langat, Gombak, Petaling Utama, Petaling Perdana, Klang, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Arahan penutupan ini dibuat susulan jumlah kluster Covid-19 melibatkan institusi pendidikan semakin meningkat dan apabila jangkitan harian tetap berada di atas angka 2,000 selama lebih seminggu.

Penutupan itu juga sejajar dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon kepada sebuah akhbar Cina minggu lalu bahawa sekolah akan ditutup selama dua hari sekiranya terdapat sat ukes Covid-19 dikesan.

Mah dan KPM dikritik oleh bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching kerana gagal membuat pengumuman tepat mengenai prosedur operasi standard (SOP) penutupan kepada masyarakat dan sekolah.

KPM juga mengeluarkan arahan bertarikh semalam kepada semua pengarah jabatan pendidikan negeri mengenai penutupan sekolah selepas kes Covid-19 dikesan.

Arahan itu menyatakan bahawa sekolah harus ditutup selama sekurang-kurangnya dua hari agar pejabat kesihatan daerah dapat melakukan pengesanan kontak dan penilaian risiko selain kerja sanitasi serta pembasmian kuman.

Arahan itu juga meminta untuk segera memberitahu pengarah pendidikan negeri dan pejabat kesihatan daerah mereka mengenai sebarang kes Covid-19 di sekolah berkenaan.

Jabatan pendidikan negeri akan segera mengeluarkan arahan penutupan sekolah berkenaan selain memaklumkan Kementerian Kesihatan mengenai jangkitan tersebut.

Pejabat kesihatan daerah bertanggungjawab untuk memutuskan sama ada sekolah itu boleh dibuka selepas dua hari.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba minggu lalu berkata kementerian mencatat penggandaan kluster Covid-19 yang melibatkan sektor pendidikan dari minggu sebelumnya, pada 17 April.

Dari 347 kluster virus aktif pada tarikh tersebut, 18.8% melibatkan institusi pendidikan.

Peratusan tertinggi masih di tempat kerja (46.9%) dan kluster masyarakat (28%). – 26 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen