KUMPULAN Pakar Penasihat Sains dan Kesihatan Covid-19 (EAG) mencadangkan empat langkah untuk Putrajaya bagi mencegah gelombang Covid-19 keempat di negara ini.
Dalam satu kenyataan, EAG mengesyorkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bersasar dan membuat pengawasan melalui ujian bersasar, selain mendesak Putrajaya memperkuat komunikasi risiko serta mempergiatkan pelaksanaan vaksinasi sambil memerangi keraguan terhadap vaksin.
“Semua kawasan PKP perlu menggunakan pencarian, ujian, jejak, pengasingan, dan sokongan (FTTIS) secara digital yang merangkumi strategi ujian massa bersasar,” kata kumpulan itu.
Kumpulan pakar tersebut menjelaskan PKP bersasar akan mengurangkan gangguan ekonomi, selain mengurangkan penularan Covid-19, menyeimbangkan kesejahteraan hidup dan mata pencarian.
“Pihak berkuasa kesihatan negeri dan daerah perlu diberi kuasa untuk bekerjasama dengan pakar luar dan menentukan batas ambang yang jelas dan telus bila sesuatu kawasan patut dletakkan di bawah PKP.
“Batas ambang patut ditentukan mengikut kepadatan penduduk, jumlah kes, dan ciri geografi kawasan tersebut, serta disampaikan dengan jelas kepada masyarakat,” kata mereka.
Kumpulan dipengerusikan Dr Abu Bakar Suleiman mempunyai wakil dari Akademi Perubatan Malaysia (Profesor Dr Rosmawati Mohamed), Persatuan Perubatan Malaysia (Dr Mary Cardosa), Dr Fadzilah Kamaludin (Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia) Dr Kuljit Singh (Persatuan Hospital Swasta Malaysia) dan Dr Christopher Lee seorang Doktor Penyakit Berjangkit terkenal.
Berkenaan pengawasan melalui ujian bersasar, para pakar menyarankan peralatan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan digunakan dengan lebih baik untuk pemodelan dan penilaian risiko ramalan bagi mengenal pasti tempat berisiko malah sebelum pandemik terjadi.
Tambah mereka, ujian bersasar besar-besaran menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) perlu digunakan secepat mungkin untuk pengawasan Covid-19 komprehensif.
Mengulas lanjut, para pakar berkata pemahaman lebih mendalam tentang sains akan meningkatkan kepercayaan masyarakat dan mengimbangi beberapa masalah pandemik yang telah terjadi.
“Pesanan Covid-19 harus berpusat pada peningkatan pemahaman kesihatan dan faktor risiko penularan selain pematuhan SOP (prosedut operasi standard).
“Sebagai contoh, masyarakat patut ada pemahaman lebih baik mengenai risiko makan dalam rumah dan bersosial di tempat yang terbatas berbanding dengan mengunjungi bazar Ramadan yang patuh SOP ketat.
“Memahami sains di sebalik pandemik ini akan membantu mewujudkan keyakinan di kalangan masyarakat,” katanya.
Tambah para pakar itu, mereka sangat memahami keraguan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin dan mendesak kerajaan menubuhkan pusat pendaftaran dan vaksin ‘pop-up’.
“Ia boleh dibangunkan di kawasan umum dengan trafik tinggi, seperti bazar Ramadan, pusat membeli belah dan bangunan pejabat, bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan.
“‘Pop-up’ ini juga dapat berfungsi sebagai pusat ujian pantas. Selain itu, program penglibatan masyarakat kebangsaan untuk mendorong pendaftaran vaksin dan melawan keraguan di kalangan penduduk rentan dan terpinggir seperti warga emas, Orang Asli, pendatang, dan buta huruf digital perlu disegerakan,” katanya.
Sementara itu, para pakar itu berkata Putrajaya patut memetingkan pengurangan penularan virus sebab sudah tidak realistik untuk menurunkan kadar jangkitan menjadi sifar.
“Setelah lebih setahun dalam Covid-19, kerajaan perlu mengutamakan cara mengurangkan penyebaran virus.
“Semua sumber perlu difokuskan untuk meningkatkan pelaksanaan PKP bersasar. Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) telah menunjukkan kepemimpinan dalam mengurus Covid-19, pandemik adalah maraton yang memerlukan sumbangan pakar termasuk mereka yang berada di luar KKM dan rakyat dari semua pelusuk negeri bagi menyumbang usaha padu,” kata EAG. – 25 April, 2021.
Komen