MKT Umno mesyuarat petang ini, bincang pemilihan parti


Mohd Farhan Darwis

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno dijangka akan memutuskan tempoh pemilihan parti sama ada diteruskan atau ditangguh sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2021.

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengadakan mesyuarat petang ini yang dijangka akan memutuskan tempoh pemilihan parti sama ada diteruskan atau ditangguh sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Beberapa anggota MKT Umno dilihat memasuki Menara Dato’ Onn yang menempatkan ibu pejabat parti, tempat mesyuarat dijadual berlangsung pada 4 petang ini.

Antaranya, naib presiden Khaled Nordin dan Mahadzir Khalid, serta pengarah pilihan raya Tajuddin Rahman dan ketua pemuda Asyraf Wajdi Dusuki.

Mereka disertai antaranya Shamsul Annuar Nasarah, Zahidi Zainul Abidin, Abdul Rahman Dahlan, Azalina Othman Said, Ahmad Puad Zarkashi, dan Abdul Azeez Rahim.

Mingguan Malaysia hari ini memetik sumber berkata MKT Umno dijangka akan membuat keputusan menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya bermula di peringkat cawangan pada Jun ini.

Penangguhan itu berdasarkan keadaan penularan Covid-19 yang belum reda serta perintah kawalan pergerakan yang menghadkan perhimpunan umum, kata laporan itu.

Bagaimanapun sumber dipetik berkata perkara itu tidak harus diputuskan tergesa-gesa hari ini juga.

“Kita tidak perlu tergesa-gesa (buat keputusan). Kita harus mengambil kira hak setiap ahli untuk mengundi pada pemilihan Umno namun disebabkan kes Covid-19 terus mencatatkan angka tinggi maka sudah tentu wujud kebimbangan untuk melaksanakan pemilihan,” kata sumber yang dipetik Mingguan Malaysia.

Umno mengamalkan sistem pemilihan satu bahagian satu undi dengan seluruh perwakilan bahagian berhak mengundi bagi pertandingan majlis tertinggi.

Pemilihan di peringkat bahagian pula hanya akan diadakan selepas pemilihan di peringkat cawangan.

Ini memberikan cabaran kepada beberapa bahagian yang mempunyai keahlian yang besar misalnya Lahad Datu (46,570), Semporna (40,296), Libaran (38,131), Gombak (37,851) dan Baling (37,512).

Kementerian Kesihatan merekodkan lebih 2,000 kes baharu jangkitan Covid-19 pada setiap hari dalam tempoh seminggu lalu.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sebelum ini berkata isu tangguh atau tidak pemilihan Umno akan dibincang dalam mesyuarat MKT Umno pada bulan puasa ini.

“Ada atau tidak pemilihan parti, itu bergantung pada keputusan MKT. Dalam Perlembagaan Umno, MKT berhak untuk menentukan,” katanya pada 11 April lalu.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini menggesa parti supaya tidak menangguhkan pemilihan sebelum PRU15, antaranya Annuar Musa, Khairy Jamaluddin dan Reezal Merican.

Mereka yakin pemilihan parti yang disegerakan akan menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sebelum pilihan raya umum akan datang. – 25 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen