WALAUPUN tahap populariti tinggi, secara politiknya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih tidak selamat, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP itu berkata tinjauan terbaharu Merdeka Center mendapati presiden Bersatu itu masih kekal dengan tahap sokongan 67% di Semenanjung Malaysia walaupun gagal mengurus tiga kali krisis Covid-19, ketidakstabilan politik dan kemelesetan ekonomi.
Kata Lim, tinjauan itu mendapati Muhyiddin menikmati tahap sokongan 83% dari orang Melayu, 30% dari orang Cina dan 66% dari orang India.
“Muhyiddin patut yakin untuk buka semula Parlimen dan guna kbersedia mengadakan pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat pilihan raya supaya dapat meneutralkan stigma pengkhianatan dan kerajaan yang tak dipilih melalui pilihan raya.
“Sebaliknya, Muhyiddin terus menggantung Parlimen dan menggunakan kuasa darurat untuk meluluskan belanjawan tambahan puluhan bilion ringgit, malah cuba menggunakan Kumpulan Wang Amanah Nasional (KWAN), yang tidak pernah dibuat sebelum ini oleh kerajaan sebelum,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam ucapan di konvensyen DAP Wilayah Persekutuan hari ini.
Lim berkata, penilaian terhadap Muhyiddin sebanyak 67% itu luar biasa bagi kerajaan Perikatan Nasional yang gagal yang menyebabkan Malaysia mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi di Asia Tenggara dari segi per kapita.
Beliau berkata terdapat juga masalah tahap vaksinasi yang rendah, kegagalan untuk pulih dari krisis ekonomi yang semakin mendalam dan krisis ketidakstabilan politik yang berterusan setelah Muhyiddin kehilangan majoriti Parlimen.
“Jelas kerajaan PN yang tidak dipilih tidak dapat membawa negara ke jalan yang baik lagi. Biarkan demokrasi menang dengan membenarkan Parlimen atau rakyat memilih kerajaan baru,” katanya.
Lim berkata tinjauan Merdeka Center mendapati ekonomi tetap menjadi keutamaan rakyat Malaysia.
Katanya, Putrajaya telah gagal menyelamatkan ekonomi daripada kemelesetan walaupun membelanjakan RM622 bilion untuk pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 selain gagal mencegah peningkatan Covid-19 terbaru berikutan ketidakcekapan, pilih kasih dan dasar ke belakang.
“Dan sekarang Muhyiddin mengaku kerajaan PN kekurangan dana. Adakah itu sebabnya dia gunakan kuasa darurat untuk ‘menyerbu’, jika perlu, RM17.4 bilion KWAN?” soalnya.
Lim berkata KWAN ditubuhkan sebagai simpanan tunai dan pelaburan strategik untuk masa depan anak-anak dan menggunakan keperluan untuk memerangi Covid-19 sebagai alasan untuk “serbu” KWAN sangat tidak dapat diterima, sedangkan belanjawan memperuntukkan RM17 bilion untuk Covid-19 dan Putrajaya masih mahu meminjam dari pasaran hutang dalam negeri bernilai RM1.3 trilion.
“Menggunakan dana RM17.4 bilion KWAN sekarang (nilai setakat 2018) dan bukannya meminjam sangat tidak bertanggungjawab dan pengurusan yang tak cekap. Bolehkah Muhyiddin jelaskan berapa banyak RM17.4 bilion dalam KWAN yang dia nak guna?” tanya Lim. – 25 April, 2021.
Komen