Guru buat jenaka rogol dilapor kepada polis


Alfian Z.M. Tahir

SATU laporan polis dibuat terhadap seorang guru lelaki yang didakwa melakukan jenaka rogol di sebuah sekolah di Kuala Selangor Jumaat lalu.

Saiful Nizam Abdul Wahab, bapa kepada pelajar kelas berkenaan, Ain Husniza berkata dia membuat laporan semalam di Saujana Utama.

“Saya membuat laporan malam tadi dan sekarang saya berada di Balai Polis Subang Jaya untuk berjumpa pegawai penyiasat,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya adakah dia juga akan membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan Saiful Nizam berkata dia dinasihatkan oleh rakan-rakan untuk membuat aduan rasmi mengenai perkara itu.

“Ya, saya juga akan membuat laporan kepada kementerian,” katanya. 

Malaysiakini melaporkan Ain mendedahkan perkara itu dalam sebuah video di platform media sosial Tiktok, yang kemudiannya diciap di Twitter.

Ain Husniza yang mendedahkan kejadian itu di media sosial berkata, kenyataan yang tidak menyenangkan itu dibuat semasa pelajar membincangkan isu gangguan seksual ketika kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolahnya di daerah Kuala Selangor.

“Ia sesuatu yang bagus, kami membincangkan tentang gangguan seksual, bagaimana menjaga diri, badan kita.

“Dia buat beberapa lawak yang pada awalnya nampak normal, tetapi perlahan-lahan lawa itu menjadi pelik dan lebih lucah.

“Kemudian kami berbincang tentang bagaimana ada undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur dari penganiayaan dan gangguan seksual, dan kemudian dia berkata ‘kalau nak rogol, jangan rogol bawah 18 tahun tetapi rogollah bawah 18 tahun’,” kata Ain.

Perkara itu menarik perhatian bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik yang meminta pengetua sekolah itu menyiasat sekolah berkenaan.

“Rogol bukan jenaka dan guru harus menekankan keselamatan, bukan sebaliknya,” katanya. – 25 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen