WALAUPUN kes Covid-19 mencecah 2,000 kes sehari sepanjang minggu ini, ibu bapa dan guru masih membantah cadangan untuk menutup sesi persekolahan kerana bimbang anak mereka ketinggalan dalam pendidikan.
Daripada menutup seluruh sekolah, mereka berkata lebih baik memberi kebebasan kepada ibu bapa untuk menentukan sama ada anak mereka perlu meneruskan kelas secara fizikal atau menutup sekolah berdasarkan tahap kes wabak itu.
Murid sudah ketinggalan dalam pendidikan selepas sesi persekolahan ditutup hampir setahun akibat pandemik Covid-19.
Malah pembelajaran dalam talian juga tidak berkesan untuk semua pihak, kata Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Terhadap Pendidikan Malaysia (Page).
Pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim berkata sekolah hanya perlu ditutup jika berlaku peningkatan kes secara mendadak.
“Selagi ada guru untuk mengajar, sekolah perlu terus dibuka.
“Biar ibu bapa membuat keputusan jika mereka mahu menghantar anak ke sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, ibu bapa juga perlu diingatkan agar mengehadkan pergerakan di luar rumah bagi mengelakkan membawa wabak itu ke sekolah.
“Biarkan anak teruskan pembelajaran kerana terlalu banyak pendidikan yang mereka terlepas. Ketatkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah,” katanya.

Beliau juga membantah lanjutan cuti Hari Raya pada bulan depan kerana penularan tempatan masih lagi tinggi.
Terdapat juga kluster Covid-19 yang dikesan daripada aktiviti sosial.
Malah kluster melibatkan sektor pendidikan termasuk sekolah, institusi pendidikan dan pusat pengajian juga sudah semakin meningkat dalam tempoh dua minggu lalu.
Lebih 80 kluster pendidikan dikesan sejak Januari hingga 20 April.
Sejumlah sekolah di Selangor dan Johor diarahkan tutup selepas kes jangkitan dikesan dalam kalangan staf, murid dan pelajar.
Di Johor, sebanyak 27 sekolah ditutup pada Rabu lalu melibatkan 10 sekolah agama dan 17 sekolah rendah, menengah dan vernakular.
Di Selangor, 19 sekolah ditutup pada awal minggu ini di daerah Petaling.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata walaupun ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak mereka tetapi tindakan menutup sekolah merupakan langkah terakhir.
Beliau berkata pihak sekolah sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengekang penularan termasuk mengehadkan pergerakan pelajar di sekolah dan hanya membenarkan mereka meninggalkan kelas untuk ke tandas.
“Pihak sekolah juga melarang kemasukan orang luar termasuk ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru ke kawasan sekolah.
“Masyarakat yang perlu berdisiplin untuk mengekang peningkatan kes jangkitan,” katanya.
Beliau juga meminta polis dan pihak berkuasa tempatan untuk mengarahkan ibu bapa yang berkumpul di luar sekolah.
“Ada ibu bapa yang datang awal untuk menunggu anak dan berbual dengan guru.
“Ini masanya untuk semua pihak berkerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan tahap keselamatan pelajar,” katanya.
Mak berkata sesi pembelajaran secara fizikal di sekolah adalah lebih baik berbanding pembelajaran dalam talian.
“Masalah rangkaian Internet, akses kemudahan, alat pembelajaran dan suasana yang kurang sesuai menjadi cabaran untuk pelajar menjalani sesi pembelajaran dalam talian,” katanya. – 25 April, 2021
Berita penuh di sini.
Komen