KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 10 kluster Covid-19 baharu, dimana tujuh daripadanya berkait tempat kerja, melibatkan kilang dan syarikat.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor dan Perak masing-masing melaporkan dua kluster tempat kerja.
Kluster Jalan Abdul Karim di Klang dan Jalan Melor di Hulu Selangor masing-masing melaporkan 11 dan tujuh kes.
Bagi dua kluster tempat kerja di Perak, iaitu kluster Ipoh Lumut dan Jalan Datoh, kedua-duanya di Kinta, masing-masing melaporkan 17 dan 12 kes.
Kluster tempat kerja lain yang dilaporkan hari ini adalah Tingkat Mak Mandin di Butterworth, Pulau Pinang (13 kes), D’Lahar di Besut, Terengganu (40 kes) dan Desa Mawar (9 kes) di Rompin, Pahang.
Terdapat juga dua kluster jangkitan komuniti hari ini, iaitu Kolam Dua di Perak (8 kes) dan Dambai Inanam di Sabah (19 kes).
Satu-satunya kluster pendidikan dilaporkan hari ini adalah Jalan St Thomas di Kuala Lumpur, yang mempunyai 11 kes tersebar di Kepong, Cheras, dan Titiwangsa.
Dr Noor Hisham juga berkata 12 kluster telah tidak aktif, menjadikan jumlah kluster aktif di negara ini 352. – 24 April, 2021.
Komen