Myanmar perlu hentikan pembunuhan orang awam, gesa Muhyidddin


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata tidak ada satupun cadangan yang dibuat itu tidak melibatkan Tatmadaw (pasukan tentera Myanmar) sebagai sebahagian daripada penyelesaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2021.

DALAM menangani krisis di Myanmar, negara itu perlu meredakan ketegangan di jalanan dan menghentikan pembunuhan serta kekejaman terhadap orang awam, kata Muhyiddin Yassin.

Itu antara tiga cadangan yang diusulkan oleh Malaysia kepada Myanmar pada Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN di sini pada Sabtu.

“Yang kedua, bebaskan tahanan politik pada kadar segera dan tanpa syarat,” kata Perdana Menteri ketika intervensi pada mesyuarat itu yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin ASEAN serta ketua junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing.

Yang ketiga katanya, Pengerusi dan Setiausaha Agung ASEAN perlu diberikan akses ke Myanmar termasuk akses kepada semua pihak yang berkenaan. 

“Malaysia harap Myanmar akan menimbang secara positif cadangan yang dikemukakan ini,” katanya.

Krisis Myanmar menjadi tumpuan utama pada pertemuan itu selepas junta tentera negara berkenaan menggulingkan kerajaan pimpinan awam pada 1 Feb dan mengisytiharkan perintah darurat selama setahun.

Rampasan kuasa itu mencetuskan bantahan besar-besaran yang kemudian digempur dengan kekerasan, menyebabkan ratusan orang terbunuh setakat ini.

Muhyiddin berkata tidak ada satupun cadangan yang dibuat itu tidak melibatkan Tatmadaw (pasukan tentera Myanmar) sebagai sebahagian daripada penyelesaian.

“Kami sedar bahawa kejayaan usaha ASEAN dalam isu Myanmar ini amat bergantung pada kesediaan Tatmadaw untuk bekerjasama,” kata beliau. 

Malaysia katanya bersedia untuk terlibat secara konstruktif dengan semua pihak serta menggembleng usaha semua negara anggota ASEAN bagi membantu Myanmar mengatasi krisis politik terkini itu.
“Malaysia harap Myanmar akan terus bekerjasama dengan ASEAN bagi menegakkan prinsip-prinsipnya,” kata beliau.

Muhyiddin turut mengeluarkan amaran keras agar situasi yang amat buruk di Myanmar itu ditamatkan segera.

“Malaysia berpegang pada pendirian bahawa pembunuhan dan kekejaman itu mesti ditamatkan. Semua pihak digesa agar tidak melakukan sebarang provokasi dan tindakan yang akan memanjangkan lagi keganasan dan ketegangan tersebut,” katanya. 

Perdana Menteri turut menggesa agar diadakan dialog yang inklusif dan bermakna, yang hanya dapat dilakukan melalui pembebasan segera dan tanpa syarat tahanan politik.

“Ini akan menjadi permulaan yang baik selain mengurangkan tekanan antarabangsa ke atas Myanmar dan ASEAN,” katanya. – Bernama, 24 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen