MALAYSIA menerima penghantaran tempahan vaksin Covid-19 daripada Covax, terdiri daripada 268,800 dos vaksin AstraZeneca malam tadi, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
“Ya, bekalan itu tiba malam tadi. Ini vaksin yang diperoleh kerajaan menerusi Covax,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Bekalan yang diterima ini cukup untuk 3% populasi negara ini,” katanya.
Dr Adham berkata vaksin itu tiba dari kilang pembuatan di Korea Selatan dan penghantaran diuruskan oleh Unicef.
Bagaimanapun beliau berkata penghantaran vaksin itu tidak berkait dengan kajian terbaharu berikutan masalah keselamatan dan berdasarkan keputusan sebelum ini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
“JKJAV telah memutuskan di peringkat awal untuk menerima bekalan melalui fasiliti Covax untuk AstraZeneca dan telah diluluskan oleh NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) sebagai kelulusan bersyarat yang telah menilai keselamatan kualiti dan keberkesanan (vaksin),” katanya.
Covax adalah platform akses vaksin global yang diselaraskan oleh GAVI; Gabungan untuk Inovasi Kesediaan Wabak (CEPI); dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kerajaan Malaysia telah memesan 6.4 juta dos vaksin dari Covax sementara 6.4 juta lagi akan diperoleh secara langsung dari AstraZeneca.
Vaksin AstraZeneca kini sedang dikaji oleh JKJAV setelah laporan mengenai pembekuan darah di kalangan penerima muncul dari negara-negara yang telah memberikan suntikan tersebut.
Jawatankuasa ini akan memutuskan sama ada Malaysia akan terus menggunakan vaksin tersebut.
Pada 9 April, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan meneliti setiap maklumat tambahan yang akan disampaikan oleh panel pakar dari Kementerian Kesihatan sebelum membuat keputusan.
Beliau berkata kerajaan meneliti laporan dari Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA), yang mengesahkan untuk pertama kalinya bahawa ada kaitan antara penggunaan vaksin AstraZeneca dan kes pembekuan darah. – 24 April, 2021.
Komen