Fahmi Reza dijangka bebas petang ini, kata peguam


Alfian Z.M. Tahir

Peguam Fahmi Reza menunjukkan nota daripada pereka grafik itu kepada rakan dan media yang menunggunya di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi Kuala Lumpur pagi ini di mana beliau ditahan sejak malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 April, 2021.

ARTIS grafik Fahmi Reza akan dibebaskan petang ini selepas majistret hanya membenarkan perintah reman sehari untuk disiasat oleh polis atas dakwaan melakukan kesalahan hasutan, kata peguamnya Yohendra Nadaraja.

Katanya, Fahmi ditahan hanya untuk diambil keterangannya, yang sebenarnya boleh dibuat dalam masa “sejam atau dua jam”.

“Reman dibenarkan untuk sehari. Pegawai penyiasat hanya perlu ambil keterangannya, cap jari dan gambar. Semua boleh dibuat dalam sejam atau dua jam.

“Tiada siasatan tambahan, ia hanya melibatkan pihak berkaitan (Raja Permaisuri Agong).

“Kami jangka Fahmi akan dibebaskan sebelum 5 petang ini, tidak lebih daripada itu,” kata peguam kepada pemberita.

Perintah reman dibenarkan oleh Majistret Nitya Ravindran.

Fahmi pertahan satira

Sementara itu, dalam satu nota pendek bertulis tangan dari tahanan, Fahmi mempertahankan parodi dan satira sebagai alat protes.

“Dalam negara di mana seorang pereka grafik disensor, ditangkap dan dilokap untuk karya seninya, adalah amat penting untuk ekspresi kreatif ini – parodi dan satira sebagai satu bentuk protes – terus diamalkan dan terus dipertahankan,” katanya.

Peguamnya Rajsurian Pillai mengesahkan nota berkenaan tulisan Fahmi semasa dalam tahanan.

Fahmi yang terkenal dengan karya satira politik ditahan oleh polis pada 7 petang semalam.

Peserta protes solidariti terhadap Fahmi Reza memegang poster membantah penahanan pereka grafik itu yang dikatakan menghina Raja Permaisuri Agong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 April, 2021.

Ahli Parlimen pembangkang dan aktivis hak asasi manusia mendesak pihak berkuasa membebaskannya segera dan menegaskan satira bukan jenayah.

Dalam kenyataan malam tadi, polis mengesahkan Fahmi ditahan kerana didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beberapa hari lalu, Fahmi menyiarkan satu gambar wajah Raja Permasuri dengan kapsyen bertulis “Dengki ke” di Facebook.

Tindakannya itu dipercayai merujuk kepada perbualan antara Raja Permaisuri dan seorang individu di laman Instagram selepas baginda disoal sama ada cef istana menerima suntikan vaksin Covid-19 yang tidak diiktiraf.

Raja Permaisuri membalas “Dengki ke” kepada soalan individu tersebut.

Susulan kejadian itu, pengguna media sosial mula menggunakan tanda pagar #dengkike yang menjadi trending di media sosial.

Raja Permaisuri kemudiannya menyahaktif Instagram baginda sebelum mengaktifkan semula akaun tersebut dengan kata motivasi.

Ahli Parlimen Pasir Mas Fadhil Shaari membuat laporan polis dengan dakwaan Fahmi menghina institusi diraja.

Baru-baru ini portal berita berpangkalan di Hong Kong Asia Sentinel mendakwa Yang Dipertuan Agong mendapatkan suntikan vaksin buatan China Sinopharm dari seorang putera diraja dari UAE.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menafikan dakwaan tersebut yang disifatkan sebagai tidak berasas kerana semua vaksin yang dibeli oleh kerajaan perlu melalui prosedur ketat.

Salah seorang doktor diraja yang dinamakan dalam laporan berita itu turut menafikan beliau terlibat memberi suntikan kepada Yang Dipertuan Agong dan keluarga baginda. – 24 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen