PENGGUNAAN vaksin Covid-19 Johnson & Johnson (J&J) di Amerika Syarikat (AS) akan diteruskan, kata pengawal selia perubatan negara itu, selepas ditangguhkan susulan terdapat kes darah beku.
Pihak berkuasa kesihatan AS pada 14 April lalu mencadangkan supaya penggunaan vaksin tersebut ditangguhkan ekoran beberapa kes pembekuan darah dilaporkan dalam kalangan berjuta penerima di negara itu.
Kebenaran diberi selepas pakar kesihatan negara itu mencadangkan supaya penangguhan ditarik balik kerana manfaat vaksin itu melebihi risiko.
“Kami menyimpulkan bahawa manfaat dan potensi daripada suntikan vaksin J&J melebihi risiko yang diketahui dan berpotensi pada individu berusia 18 tahun ke atas,” kata Ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS Janet Woodcock dalam satu kenyataan.
Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Rochelle Walensky dalam kenyataan sama berkata kesan darah beku sangat jarang berlaku.
CDC bersama FDA akan terus memantau dengan teliti program vaksinasi di AS, tambahnya.
Menurut data yang dikeluarkan semalam, 15 daripada 3.9 juta wanita yang diberi vaksin J&J mengalami pemebekuan darah, dan tiga daripadanya meninggal dunia.
Kebanyakan daripada 15 kes darah beku tersebut, 13 adalah wanita berusia lebih 50 tahun. Tiada kes membabitkan golongan lelaki.
Selasa lalu pengawal selia perubatan Eropah berkata pembekuan darah akibat pengambilan vaksin J&J harus disenaraikan sebagai kes yang sangat jarang berlaku.
Badan itu juga berkata jawatankuasa keselamatannya merumuskan bahawa amaran pembekuan darah luar biasa dengan jumlah platelet rendah perlu ditambah dalam maklumat produk J&J. – AFP, 24 April, 2021.
Komen