PANEL pakar kesihatan Amerika Syarikat (AS) semalam mahu vaksin Covid-19 Johnson & Johnson diteruskan selepas ditangguhkan sebelum ini atas risiko pembekuan darah.
Pihak berkuasa kesihatan AS pada 14 April lalu mencadangkan supaya penggunaan vaksin tersebut ditangguhkan ekoran beberapa kes pembekuan darah dalam kalangan berjuta penerima di negara itu.
Bagaimanapun, keputusan akhir sama ada penagguhan vaksin Johnson & Johnson (J&J) akan ditarik balik ditentukan oleh Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Rochelle Walensky.
Vaksin Covid-19 J&J mendapat kelulusan penggunaan kecemasan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) dan disyorkan untuk individu 18 tahun ke atas.
Menurut data yang dikeluarkan semalam, 15 daripada 3.9 juta wanita yang diberi vaksin J&J mengalami pemebekuan darah, dan tiga daripadanya meninggal dunia.
Kebanyakan daripada 15 kes darah beku tersebut, 13 adalah wanita berusia lebih 50 tahun. Tiada kes membabitkan golongan lelaki.
Pakar kesihatan di AS menyarankan vaksin tersebut digunakan bersandarkan bahawa manfaat vaksin itu melebihi risiko yang serius tetapi kecil berbanding virus Covid-19 yang telah meragut lebih 570,000 nyawa penduduk negara itu.
“Mengenepikan vaksin yang hanya boleh diberi dengan satu dos akan merugikan,” kata Dr Jose Romero, pengerusi Jawatankuasa Penasihat CDC mengenai Amalan Imunisasi.
Saranan supaya penggunaan vaksin itu diteruskan disambut baik oleh Ketua Pegawai Saintifik J&J Dr Paul Stoffels, yang menurutnya akan menyelamatkan berjuta nyawa penduduk AS.
Selasa lalu pengawal selia perubatan Eropah berkata pembekuan darah akibat pengambilan vaksin J&J harus disenaraikan sebagai kes yang sangat jarang berlaku.
Badan itu juga berkata jawatankuasa keselamatannya merumuskan bahawa amaran pembekuan darah luar biasa dengan jumlah platelet rendah perlu ditambah dalam maklumat produk J&J. – AFP, 24 April, 2021.
Komen