Bersatu bukan parti lemah, kata pemimpin akar umbi


Diyana Ibrahim

Pemimpin akar umbi Bersatu merasakan parti itu bukan lagi parti lemah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2021.

BERSATU tidak boleh digelar sebagai parti lemah kerana hakikatnya tidak ada parti yang dominan ketika ini, kata pemimpin akar umbi.

Mereka mengulas kedudukan Bersatu yang kini menjadi tunjang kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak banyak mewakili kerusi Parlimen.

Pemimpin ini juga berkata demikian bagi menjawab tekanan oleh parti Umno yang sudahpun mengumumkan akan menamatkan kerjasama dalam PN sebaik sahaja perintah darurat berakhir.

Antaranya Ketua Penerangan Bersatu Terengganu Badrolhisham Mohamed yang berkata senario politik ketika ini memperlihatkan tidak ada parti yang dominan termasuk Umno.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, Bersatu juga berjaya mengetuai pentadbiran kerajaan apabila presidennya, Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri.

Katanya, hal itu membuktikan Bersatu bukan parti yang lemah dan sedang mengukuhkan kedudukannya terutama dengan gabungan Perikatan Nasional.

“Nak kata dominan memang dalam keadaan politik sekarang ini tidak ada satu parti politik yang dominan

“Tapi Bersatu dari segi usia parti baharu tapi telah menguasai kepimpinan negara sekarang ini dalam bentuk kerjasama PN (dalam PRU15).

“Apabila gabungan ini berjaya mampu menang banyak tempat nanti Bersatu akan jadi dominan,” kata Badrolhisham kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya melalui kerjasama itu, tiada parti yang akan bertanding sendirian kerana seluruh komponen akan menyertai pilihan raya bawah PN dan yakin gabungan itu akan menang PRU15.

Bersatu berjaya mengetuai pentadbiran kerajaan apabila presidennya, Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2021.

“Parti yang bertanding dalam gabungan itu akan jadi kerajaan yang dominan jika dapat menguasai  Parlimen tidak timbul isu parti individu atau apa,” katanya lagi.

Angka paling terakhir yang diumumkan Bersatu pada November lalu menunjukkan parti itu mempunyai 508,000 anggota di 171 bahagian dan 2,579 cawangan seluruh negara.

Ketika ditanya, Badrolhisham berkata parti itu kini membuka lapan bahagian di negeri Pantai Timur itu dengan jumlah keahlian dianggarkan seramai 25,000 ke 30,000 anggota.

Di Selangor, bekas ketua bahagian Semenyih Rais Zulkifli juga mengakui Bersatu pada ketika ini tidak dilihat sebagai parti yang kuat.

Namun katanya itu kerana usia Bersatu yang masih baru dan sangat mustahil untuk menyaingi parti yang lama seperti Umno dan PAS dan juga pembangkang seperti PKR atau DAP.
 
Kerana itulaha Bersatu perlu duduk dalam satu gabungan politik seperti PN, katanya.

“Bersatu pada asalnya ditubuhkan untuk (menentang) perdana menteri keenam Najib Razak dan selepas kita berjaya tumbangkan kita masih belum ada hala tuju baru.

“Dulu kita dalam Pakatan Harapan dan selepas itu PN. Sebab itu Bersatu kena ada dalam gabungan dengan usia yang masih baharu, mana mungkin kita boleh bersaing dengan parti lama.

“Ia mengambil masa,” katanya yang menambah biarpun Bersatu masih belum kuat, pencapaiannya dalam tempoh enam tahun penubuhannya sangat luar biasa.

Dakwanya rakyat melihat Bersatu sebagai parti yang bersih dimana pemimpinnya tidak terlibat dengan masalah rasuah dan penyelewengan kuasa.

Beliau berkata kerana itu ia menjadi tarikan kepada anak muda untuk menyertai Bersatu.

“Saya lihat ramai anak muda yang sertai Bersatu yang dulunya mereka tak nak ambil tahu hal politik, tapi sekarang mereka menyertai Bersatu.

“Sebab mereka rasa mereka dapat bawa idea baru biarpun masih lagi ahli baru, mereka ada suara yang ini tidak ada pada parti lama seperti Umno yang ada hirarkinya,” katanya.

Bersatu pada November lalu umum parti itu mempunyai 508,000 anggota di 171 bahagian dan 2,579 cawangan seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2021.

Ditanya mengenai isu pengganti pelapis pemimpin, akuinya buat masa ini akar umbi masih tidak nampak penganti yang boleh menggantikan Muhyiddin Yassin.

Namun katanya masalah tersebut adalah normal yang dihadapi mana-mana parti dan percaya pemimpin Bersatu mahu presiden itu meneruskan khidmatnya.

“Sekarang ini Bersatu tengah gilap dan membentuk pemimpin (seterusnya). Bagi saya kalau parti mana-mana pun masalah tetap sama.

“Tapi saya jangka pemimpin parti mahukan Muhyiddin pimpin parti dalam tempoh sepenggal lagi,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Asyraf Mustakim turut senada dan berpendapat isu kekuatan parti tidak patut ditimbulkan.

“Sekarang ini tidak ada parti yang dominan dan kuat, dan ikut sejarah politik negara pun tak ada parti yang kuat.

“Tidak ada satu parti yang boleh menang bertanding sendirian. Semua perlu gabungan dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata parti itu mempunyai kekuatan sendiri pada kepemimpinan presidennya.

Tambahnya, Bersatu kini berusaha menambahkan cawangannya sebagai usaha untuk berdepan dengan pilihan raya umum kelak.

“Sekarang kita memang tengah fokus untuk tambah cawangan sebab dulu kita tak banyak (cawangan). Polisi (kita) satu undi satu ahli.

“Namun kita tak guna lagi polisi itu jadi tumpuan kita memperbanyakkan cawangan,” katanya.

Parti diasaskan Dr Mahathir Mohamad itu pada asalnya ditubuhkan pada 8 September 2016 dengan dianggotai bekas pemimpin Umno.

Bersatu seterusnya menyertai gabungan Pakatan Harapan bersama PKR, DAP dan Amanah bagi menumbangkan kerajaan Umno – Barisan Nasional dalam PRU14.

Tindakan presidennya Muhyiddin Yassin membentuk kerjasama baharu dengan Umno dan PAS untuk mengambil alih kerajaan kemudian menyaksikan Dr Mahathir meletak jawatan.

Umno yang tidak berpuas hati kerana pendakwaan ke atas pemimpinnya masih diteruskan kemudian memutuskan untuk untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN.

Namun penganalisis politik seperti Awang Azman Awang Pawi melihat Bersatu masih kuat pada masa ini atas faktor presidennya memegang jawatan perdana menteri.

Katanya faktor itu merupakan penentu untuk Bersatu berjaya menguasai mekanisme kuasa, sumber dan kewangan untuk mengukuhkan kedudukan parti.

Namun beliau memberi amaran, kekuatan tersebut tidak akan bertahan lama kerana Bersatu tidak akan menguasai jawatan perdana menteri selama-lamanya.

“Jika Bersatu tak lagi pegang jawatan perdana menteri maka kekuatan Bersatu akan mulai lemah,” katanya.

Beliau berkata jika Muhyiddin tidak lagi menjadi perdana menteri, ia akan mendatangkan masalah buat parti itu kerana banyak bergantung kepada sokongan penyokong Umno dan PAS.

“Ditambahkan lagi keahlian Bersatu tidak seramai Umno, PKR dan PAS. Maka bilangan cawangan parti kecil (akan) menentukan pengaruh Bersatu sebenar.

“Malah kekuatan di peringkat cawangan bergantung kepada sokongan Umno dan PAS pada masa sekarang,” katanya.

Mengulas mengenai pengganti Muhyiddin. Beliau menjangkakan kedudukan itu akan beralih kepada Azmin Ali yang menjadi ahli majlis tertinggi sebaik menyertai parti itu.

“Azmin Ali ialah pemimpin selepas Muhyiddin yang mampu mengendalikan parti kerana dianggap strategis utama Bersatu selain Hamzah Zainuddin,” katanya. – 24 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen