KANADA menggantung semua penerbangan penumpang dari India dan Pakistan selama 30 hari susulan peningkatan kes Covid-19 yang dikesan pada pelancong yang tiba dari negara ini.
Menteri Pengangkutan Kanada Omar Alghabra berkata memandangkan jumlah kes Covid-19 yang lebih tinggi dikesan pada penumpang udara yang tiba di Kanada dari India dan Pakistan, semua penerbangan komersial dan swasta digantung selama 30 hari.
“Ini adalah langkah sementara bagi membolehkan kami menilai perkembangan semasa dan menentukan langkah bersesuaian,” katanya dalam satu sidang media.
Sekatan itu akan berkuat kuasa pada jam 11.30 malam hari ini.
Menurutnya penggantungan itu tidak melibatkan penerbangan kargo bagi memastikan penghantaran berterusan vaksin, pakaian pelindung diri (PPE) dan barang keperluan lain.
India kini berdepan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang didakwa mencetuskan varian “mutan berganda” dan perebak utama yang mana melaporkan kes tertinggi dalam satu hari lebih dari 300,000 kes baharu Covid-19 semalam.
Menteri Kesihatan Patty Hajdu berkata secara keseluruhan hanya 1.8 peratus pelancong ke Kanada yang didapati positif koronavirus.
Walaupun India menyumbang 20 peratus perjalanan udara ke Kanada baru-baru ini, lebih separuh daripada semua ujian positif di sempadan adalah dari penerbangan yang tiba dari negara itu.
“Jumlah kes yang tinggi juga dikaitkan dengan Pakistan.
“Ini jumlah yang besar,” katanya. – Bernama, 23 April, 2021.
Komen