VARIAN baharu Covid-19 B.1.617 yang menular di India menjangkiti sekumpulan pelajar dari negara itu di Belgium, kata pihak berkuasa semalam.
Pejabat Pesuruhjaya Pedro Facon berkata kumpulan pelajar kejururawatan itu tiba di Belgium pada pertengahan bulan ini selepas menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris .
Pelajar terbabit kini menjalani kuarantin di pusat pengajian mereka di Aalst dan Leuven, di utara Belgium.
Beberapa pakar di negara itu berkata kumpulan pelajar itu mungkin dijangkiti dari “super-spreader” atau penyebar utama - sama ada dalam kalangan mereka sendiri atau penumpang lain dalam pesawat sama dari Paris ke Belgium.
“Pelajar-pelajar ini menjalani kuarantin sejak mereka sampai di sini. Seramai 20 daripada 43 pelajar dijangkiti varian ‘India’,” kata ahli mikrobiologi Emmanuel Andre dari Catholic University of Leuven.
Pakar virologi Marc Van Ranst memberitahu stesen radio Flemish kumpulan pelajar itu tiba di Paris pada 12 April lalu. Beberapa orang daripada mereka mengalami gejala lima hari kemudian, katanya.
Varian B.1.617 dilaporkan juga dikesan di Amerika Syarikat, Australia, Israel dan Singapura. Bebebrapa negara termasuk United Kingdom mengenakan sekatan perjalan ke atas India. – AFP, 23 April, 2021.
Komen