Program saringan Covid-19 pekerja kilang Selangor tidak dapat sambutan  


Angie Tan

Fokus program berkenaan adalah di kawasan perindustrian berikutan kes tinggi dalam kluster tempat kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2021.

PROGRAM ujian saringan percuma kerajaan Selangor di zon merah negeri itu tidak mendapat sambutan daripada pekerja kilang, yang mana Adun menyalahkan majikan kerana gagal menggalakkan pekerja untuk jalani ujian. 

Wakil rakyat negeri itu memberitahu The Malaysian Insight fokus program berkenaan adalah di kawasan perindustrian berikutan kes tinggi dalam kluster tempat kerja. 

Adun Balakong Wong Siew Ki berkata setakat ini kira-kira 1,000 orang telah menjalani ujian percuma berkenaan yang mana ia di bawah jangkaan kerana kawasan berkenaan mempunyai beberapa kawasan perindustrian utama.

“Dua ujian pertama yang dijalankan di Taman Industri Balakong Jaya dan Taman Industri Sungai Chua, dan yang ketiga di Taman Industri Selesa Jaya,. Hanya 800 orang hadir untuk menjalani ujian.

“Taman Industri Selesa Jaya adalah kawasan perindustrian yang besar. Pada asanya kita menyasarkan sekurang-kurangnya 500 orang disaring, tetapi hanya 300 orang tampil. Sembilan daripadanya didapati positif Covid-19,” katanya. 

Wong berpendapat ia tidak mendapat sambutan berikutan kurang galakan daripada majikan. 

“Kebanyakan majikan merasakan tidak mengapa jika tidak jalani ujian, dan semuanya kelam kabut apabila terdapat kes positif di premis mereka,” katanya. 

Adun Pandamaran Leong Tuck Chee juga mengakui maklum balas terhadap program berkenaan tidak menggalakkan. 

“Setakat yang saya tahu, kempen ujian di kawasan lain juga tidak memuaskan. Kami tertanya-tanya adakah orang ramai mengambil serius dengan pandemik dan ujian saringan.

“Mungkin ramai yang merasakan memandangkan kebanyakan kes positif Covid-19 adalah tidak bergejala, jadi kesannya tidak terlalu teruk. 

“Namun orang ramai perlu ingat, mereka yang mempunyai masalah kesihatan boeh berdepan jangkitan yang teruk,” tambah Leong. 

Leong turut menggesa majikan agar tidak mengambil mudah dan memandang serius ujian saringan untuk pekerja mereka.

“Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah memberi peringatan bahawa jika kadar kebolehjangkitan mencapai 1.2, jumlah kes jangkitan harian di negara mungkin akan meningkat lebh 3,000 kes,” katanya. 

Setakat ini jumlah kes jangkitan baharu harian melebihi 2,000 kes untuk lapan hari berturut-turut dengan Selangor semalam merekodkan 633 kes baharu, yang kedua Kelantan dengan 662 kes jangkitan baharu. 

Walaupun maklum balas tidak memberangsangkan, Wong di Balakong berkata beliau akan terus menggiatkan kempen program ujian saringan percuma.

“Kita akan mendekati kesatuan perdagangan tempatan bagi meningkatkan kesedaran mengenai ujian saringan. Saya berharap lambat laun mereka akan menerimanya.”

Beliau juga akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan negeri untuk menyertakan pekerja dan majikan yang sudah menjalani ujian saringan diberi keutamaan untuk senarai vaksinasi. 

“Sebaik sahaja kerajaan Selangor memperoleh vaksin sendiri, kami harap orang ramai yang sudah disaring diberi keutamaan dalam senarai,” kata Wong merujuk kepada perancangan kerajaan negeri untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19nya sendiri. 

Sementara itu, Adun Kajang Hee Loy Sian berkata sikap orang ramai terhadap pilihan yang lebih murah secara umumnya tidak menggalakkan. 

Setakat ini Kajang bukan zon merah, jadi program ujian saringan percuma tidak diadakan di kawasan itu, namun program ujian saringan yang dijalankan sebelum ini tidak mendapat sambutan. 

“Kami sangkakan bayaran yang menjadi masalah. Namun selepas saya biaya kos, maklum balas masih juga tidak mencapai sasaran. Setakat ini, hanya satu program ujian saringan dijalankan di kawasan saya.”

Tanpa subsidi, ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)
 di premis kesihatan swasta mencecah sehingga RM300. 

Program ujian saringan percuma Selangor diumumkan pada Januari, sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan Kita Selangor bernilai RM73.9 juta. 

Daripada jumlah itu, RM6 juta diperuntukkan bagi kempen ujian saringan dan pihak berkuasa berharap sekurang-kuragnya 5,000 penduduk di negeri itu menjalani ujian. – 23 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen