KEMENTERIAN Kesihatan hari ini mengumumkan 13 kluster baharu Covid-19 di 10 negeri dalam tempoh 24 jam terakhir.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 13 kluster tersebut melibatkan lima kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster pendidikan dan satu kluster agama.
Beliau berkata kluster tempat kerja dikesan di Selangor, Johor, Sabah dan Kuala Lumpur.
Sementara itu kluster komuniti dikesan di Selangor, Sarawak, Melaka dan Perak.
“Kluster pendidikan dikesan di Selangor, Kelantan dan Kedah sementara kluster agama di Negeri Sembilan,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata lima kluster tempat kerja dikesan di Hulu Langat (Selangor), Pontian, Kota Tinggi, Pulai (Johor), Kinabatangan (Sabah), Lembah Pantai, Kepong, Gombak (Kuala Lumpur) dan Putrajaya.
Bagi kluster komuniti, kes direkodkan di Petaling, Sabak Bernak, Klang (Selangor), Selangau (Sarawak, Melaka Tengah (Melaka) dan Hilir Perak (Perak).
Sementara itu kluster pendidikan dikesan di Kuala Langat (Selangor), Kuala Krai (Kelantan) dan di Kota Setar (Kedah).
Kluster agama dikesan di Seremban dan Tampi, kedua-duanya di Negeri Sembilan.
Dengan kluster baharu hari ini, jumlah kluster keseluruhan negara ini mencapai 1,565.
Sementara itu sebanyak 1,213 kluster tamat termasuk empat dalam tempoh 24 jam terakhir.
“Empat kluster berkenaan adalah kluster Putra Satu, kluster pembinaan Jalan Kenangan, kluster Balakang Satu dan kluster Siasai Tamu,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata bahawa pada masa ini terdapat 352 kluster aktif dan kes baharu tertinggi hari ini dikesan berasal dari kluster Kampung Domis dengan 162 kes, kluster Jalan Hospital dengan 101 kes dan Jalan Shah Banting dengan 55 kes. – 22 April, 2021.
Komen