ASEAN perlu menghalang Myanmar dari menjadi negara yang gagal kerana ia memberi kesan kepada rantau ini, kata bekas menteri luar Malaysia Syed Hamid Albar hari ini.
Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia untuk Myanmar berkata untuk pertama kali sejak penubuhannya pada 1967, Asean berdepan prospek salah satu negara anggotanya yang akan runtuh dan menjadi negara yang gagal.
“Kesan kegagalan negara akan berterusan di luar sempadan Myanmar dan mendatangkan ancaman yang jelas serta nyata bagi keamanan dan keselamatan serantau.
“Ini demi kepentingan segera dan jangka panjang Asean bagi mencegah kegagalan negara di Myanmar.
“Menstabilkan situasi di Myanmar dan menangani kesan limpahan negatifnya ke seluruh wilayah sangat memerlukan kepemimpinan dan diplomasi serantau yang kuat serta tegas bagi membimbing Myanmar ke arah kestabilan, keamanan dan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Hamid menambah bahawa mesyuarat tergempar hujung minggu ini untuk pemimpin Asean menggesa pemberhentian segera keganasan di Myanmar dan memulakan kerja kemanusiaan.
“Rampasan kuasa dan tingkah laku pemerintahan tentera secara terang-terangan melanggar Piagam Asean dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean.
“Tatmadaw (angkatan bersenjata Myanmar) harus bertanggungjawab dan bekerjasama dengan ASEAN bagi menyelesaikan krisis di negara berkenaan.
“Asean perlu menyatakan dengan jelas bahawa kerjasama itu bukan bermakna mengiktiraf Majlis Pentadbiran Negara Tatmadaw, sebaliknya bekerjasama sehingga krisis terbabit selesai,” katanya.
Beliau juga mendesak Asean untuk meminta “jeda kemanusiaan” dilaksanakan di seluruh negara dan agar Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan Asean (ERAT) dikerahkan untuk melakukan penilaian dengan cepat ke atas daerah-daerah yang terkesan.
Bantuan kemanusiaan juga harus diberikan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Palang Merah dan badan bukan kerajaan.
Selain itu, Negara Anggota Asean juga perlu bersetuju untuk menawarkan tempat perlindungan dan melindungi mereka yang melarikan diri dari negara berkenaan.
Cadangan lain adalah untuk Asean menawarkan pendamai melalui Utusan Khas Asean.
Syed Hamid yang juga bekas utusan khas OIC ke Myanmar berkata bahawa negara-negara Asean dan negara lain yang terjejas seperti China serta India harus bekerjasama untuk mencegah peningkatan ketara jenayah transnasional.
Myanmar berdepan pergolakan sejak angkatan bersenjata menggulingkan kerajaan yang dipimpin oleh ikon demokrasi Aung San Suu Kyi pada 1 Februari.
Lebih daripada 700 penunjuk perasaan anti-kudeta terbunuh sejak itu. – 22 April, 2021.
Komen