POLISI Kementerian Pendidikan berhubung penutupan sekolah dengan kes Covid-19 selama dua hari perlu dimaklumkan kepada pengetua dan guru besar, kata bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching.
Beliau mempersoalkan ketiadaan surat rasmi daripada kementerian mengenai kenyataan dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mah Hang Soon semalam kepada sebuah akhbar berbahasa Cina.
“Walaupun keputusan itu berkuatkuasa semalam ... setakat ini kami belum melihat kenyataan media daripada (kementerian) atau arahan rasmi untuk jabatan pendidikan negeri atau pengetua dan guru besar untuk menutup sekolah.”
“Saya menerima sekurang-kurangnya lima aduan di mana sekolah telah mengesahkan kes tetapi tiada arahan menutup sekolah.”
“Ketika ditanya mengapa guru besar atau pengetua tidak mengeluarkan notis tutup sekolah, mereka berkata belum menerima surat rasmi yang membenarkan berbuat demikian,” kata Teo dalam satu kenyataan.
Mah memberitahu Sin Chew Daily semalam, mana-mana sekolah dengan jangkitan Covid-19 yang disahkan, walaupun hanya satu kes, kini mesti ditutup sekurang-kurangnya dua hari.
Beliau menambah bahawa pelajar perlu menjalani pelajaran secara dalam talian selama dua hari, dan pada masa sama pegawai kesihatan akan memeriksa sekolah dan melakukan penilaian risiko sebelum memutuskan sama ada membenarkan pelajar kembali atau melanjutkan penutupan sekolah kepada lebih dua hari.
Namun, belum ada surat rasmi atau kenyataan umum daripada kementerian.
Teo, yang juga ahli Parlimen Kulai, berkata guru dan ibu bapa, serta pelajar, bingung berikutan kegagalan kementerian membuat pengumuman yang tepat.
“Gagal membuat pengumuman memberi kesan besar kepada 500,000 guru dan 4.7 juta pelajar dan ibu bapa mereka.”
“Mengapa timbalan menteri membuat pengumuman itu hanya untuk akhbar dan tidak mengeluarkan siaran media?
“Kementerian gagal berkomunikasi dan kerana itu, ia menimbulkan rasa tidak senang dan bimbang di kalangan ibu bapa. Kementerian memerlukan prosedur operasi standard yang jelas untuk mengelakkan salah faham di masa depan.” – 22 April, 2021.
Komen