Tiada proses sewajarnya tukar status Convent Bukit Nanas, kata alumni


Raevathi Supramaniam

Permohonan pajakan tapak Convent Bukit Nanas dikatakan tidak dilayan kerana kerajaan mahu sekolah berusia lebih 100 tahun itu sebagai sekolah kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 April, 2021.

TIADA proses sewajarnya dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membolehkan SMK Convent Bukit Nanas (CBN) diwartakan sebagai institusi pendidikan yang dibantu sepenuhnya oleh kerajaan, kata presiden alumninya Marina Yong.

Marina merujuk kepada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Muhammad Yasir Yahya yang berkata tanah sekolah akan menjadi milik kerajaan apabila pajakannya berakhir pada 6 September.

Yasir berkata ia akan membolehkan sekolah itu diwartakan sebagai institusi pendidikan yang sepenuhnya dibantu oleh kerajaan.

Marina yang belajar di CBN dari 1971 hingga 1979 berkata walaupun kerajaan memutuskan untuk menukar status sekolah, pasti ada proses sewajarnya.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman dibuat oleh kementerian, hanya komentar daripada pengarah pejabat tanah,” kata Yong kepada The Malaysian Insight.

“Seperti yang kita lihat, belum ada proses yang dalam hal ini, justeru ia tidak cukup kuat. 

“Saya rasa kita perlu mendengar daripada piha berkaitan, seperti KPM, yang setakat ini masih mendiamkan diri. Mereka tidak menyokong apa yang dikatakan oleh Pejabat Tanah dan Galian.”

Beliau menambah, ahli alumni berasa pelik pengarah pejabat tanah dan bukan KPM yang membuat pengumuman itu, menyebabkan ramai bingung mengenai status sekolah tersebut.

Tiga tahun tiada tindakan

“Kami tidak tahu mengapa mereka menggunakan alasan itu untuk tidak memperbaharui pajakan tanah kerana setakat yang kami fahami, pihak sekolah tidak diberitahu mengenai alasannya dan mereka juga tidak dihubungi mengenai soal menjadi sekolah dibiayai kerajaan sepenuhnya.

“Mereka pertama kali membuat permohonan pembaharuan pada 2017 dan ia empat tahun sebelum pajakan berakhir. Pihak sekolah menjalankan tanggungjawab dengan bertindak lebih awal, dan dalam tempoh itu tidak pernah langsung terdengar mengenai pertukaran menjadi sekolah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kemudian pada 2020 ketika mereka mendapat maklum balas yang pajakan tidak akan diperbaharui, tiada tanda kerajaan akan mengubahnya menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan. Itulah sebabnya semua orang hairan. Pelik mendengar alasan ini,” katanya.

Marina berkata sangat mengejutkan yang perkara ini baru saja dibangkitkan sedangkan CBN sudah wujud lebih 122 tahun.

“Sekolah ini berjalan dengan baik dan jika mereka memerlukan pertolongan ada lembaga pengelola dan jika ada keperluan serius, mereka akan menyampaikannya kepada persatuan alumni untuk membantu.

“Jika sekolah sangat memerlukan dana, kita pasti tahu mengenainya. Tetapi perkara seperti itu tidak pernah timbul.”

Alumni CBN yang ditubuhkan tiga tahun lalu, setakat ini membantu sekolah dalam menyediakan perabot tambahan untuk dewan sekolah dan semasa penutupan tahun lalu, sekolah tersebut menyediakan senarai 19 orang murid yang memerlukan bekalan makanan dan alumni mengambil melangkah untuk membantu.

“Persatuan alumni selalu membantu sekolah. Ini adalah biasa. Baik pulih sekolah tidak semestinya sesuatu yang memerlukan jutaan ringgit dan alumni bersedia dan senang untuk membantu mengumpul dana.

“Jika melibatkan jumlah yang besar, mungkin memerlukan lebih banyak usaha dan pemikiran strategik, tetapi saya yakin alumni akan bersama-sama untuk membantu apa sahaja keperluan sekolah,” kata Marina.

Beliau berkata isu itu menjadikan alumni memikirkan bagaimana langkah terbaik untuk menyokong sekolah dengan cara lebih bermakna dan bagi memastikan warisan sekolah diteruskan. 
Bagaimanapun, mereka akan terus menyokong sekolah tersebut jika ia memilih untuk terus menjadi sekolah persendirian.

“Alumni akan terus memberi sokongan kepada sekolah jika ia memilih untuk berjuang dalam isu pajakan tanah dan memutuskan tidak ingin menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan - jika autonomi mereka menjadi taruhan.” – 22 April, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen