ANGKA kematian kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 1,400 selepas merekodkan 11 kematian baharu dalam tempoh 24 jam lalu, kata Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata kes kematian terbaharu melibatkan sembilan warga tempatan dan dua warga asing.
Noor Hisham berkata enam kematian direkodkan di Sabah, empat di Sarawak dan satu di Kuala Lumpur.
Berhubung kematian dua warga asing, kedua-duanya adalah wanita dilaporkan meninggal dunia di Sabah, yang mana salah seorang daripadanya mati ketika dibawa ke hospital.
Kes aktif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 21,687 yang mana Malaysia melaporkan 2.340 kes baharu dan 1,910 kes pulih dalam tempoh 24 jam lalu, kata Noor Hisham.
Ini merupakan hari ketujuh jumlah kes harian merekodkan lebih 2,000 kes.
Noor Hisham berkata Selangor mengatasi Sarawak bagi negeri merekodkan kes paling tinggi dengan 526 kes.
Secara kumulatifnya, jumlah kes keseluruhan di Selangor adalah 125,111, diikuti Sabah dengan 57,164 dan Johor 43,703.
Selepas tiga hari berturut-turut melaporkan kes paling tinggi, Sarawak hari ini di tangga kedua dengan 429 kes, diikuti Kelantan dengan 370.
Noor Hisham juga berkata 248 pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi, 101 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. – 21 April, 2021.
Komen