Momoh cabar keputusan usir keluar imigresen di mahkamah


Raevathi Supramaniam

Low Kar Wai menunjukkan gambar suaminya, warga Nigeria Simon Momoh ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 April, 2021.

SIMON Momoh memohon mahkamah untuk menyemak semula keputusan ketua pengarah Imigresen membatalkan visanya dan seterusnya mahu mengusir beliau keluar dari Malaysia.

Peguamnya Vemal Arasan berkata semakan kehakiman yang menamakan ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri sebagai responden itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Momoh antara lain memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan menarik balik visa ke atas isterinya serta penahanannya.

Beliau juga memohon mahkamah menangguhkan perintah pengusiran sehingga isu perundangan mengenai Akta Imigresen 1959/1963 dan Perlembagaan Persekutuan diputuskan terlebih dulu.

Momoh mahu mahkamah membuat perisytiharan bahawa Seksyen 35 Akta Imigresen mengenai kuasa menangkap seseorang untuk diusir bertentangan dengan Artikel 5(4) dan Artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 5(4) menyentuh hak seseorang untuk tidak ditahan lebih 24 jam tanpa perintah majistret sementara Artikel 4(1) berhubung kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Momoh memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 35, yang membenarkan penahanan bukan warga Malaysia sehingga 30 hari, tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Momoh juga memohon satu perisytiharan bahawa responden tidak bertindak dengan wajar dan melampaui bidang kuasa mereka, dan seterusnya dihalang daripada membuat menarik balik visanya dan menahannya.

Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan permohonan habeas corpus ke atas Momoh sehingga Jumaat ini.

Arasan memfailkan permohonan habeas corpus pada 1 April setelah Momoh ditahan sejak 15 Mac dan penahanan itu didakwa tidak sah. – 21 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen