Bau busuk dari Bukit Nanas


Jahabar Sadiq

Permohonan pajakan tapak Convent Bukit Nanas dikatakan tidak dilayan kerana kerajaan mahu sekolah berusia lebih 100 tahun itu sebagai sekolah kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 April, 2021.

BAU busuk bukan hanya dari tahi lembu tetapi manusia juga.

Itu yang terlintas di kepala apabila pengarah tanah dan galian Wilayah Persekutuan semalam dipetik berkata permohonan pajakan tapak Convent Bukit Nanas tidak dilayan kerana kerajaan mahu sekolah berusia lebih 100 tahun itu sebagai sekolah kerajaan.

Beliau juga dipetik berkata kerajaan mahu memberi bantuan penuh kepada sekolah itu dan bukan lagi hanya separuh bantuan seperti sekarang apabila ia dikendalikan oleh mubaligh dari Society of St Maur.

Tetapi, kenapa dasar pendidikan kerajaan diumum oleh pengarah tanah dan galian dan bukannya Kementerian Pendidikan sendiri? Adakah dasar ini hanya untuk sekolah biara atau untuk semua sekolah mubaligh lain yang terletak di tanah pajakan.

Juga, apakah kerajaan ada dana untuk memberi bantuan penuh kepada sekolah ini selain daripada menyediakan guru bergaji dan kurikulum serta sedikit bantuan untuk kemudahan awam dan senggaraan?

Banyak orang sudah mengingatkan bahawa dasar seperti itu sepatutnya dibahas dan diumum oleh Jemaah Menteri. Itu tidak berlaku sejak Society of Maur memohon untuk melanjutkan pajakan tanah pada 2017.

Sekarang pun tidak juga.

Mesti ada proses dan ketelusan dalam isu ini. Sudah tentu elok sekiranya kerajaan memberi bantuan penuh kepada semua sekolah tanpa mengira kedudukan mereka sebagai sekolah mubaligh atau sekolah kerajaan.

Namun kemurahan hati seperti itu tidak diharapkan terutama ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendedahkan kerajaan sudah tidak banyak wang kerana perbelanjaan memerangi pandemik.

Jadi kita boleh mengandaikan sebarang hasrat untuk membiayai sepenuhnya CBN hanya mengarut – atau tahi lembu.

Hakikatnya sekolah kerajaan seperti Victoria Institution (VI) bergantung pada bekas pelajar dan ibu bapa untuk baik pulih bangunan sekolah. Malah, bekas pelajar dan ibu bapa juga yang mendapatkan jurulatih sukan untuk sekolah.

Atau adakah Kementerian Pendidikan yang pokai dan pengarah tanah dan galian akan memberi sumbangan untuk dibayar kepada CBN dan sekolah lain di Kuala Lumpur?

Sekolah memainkan peranan penting dalam masyarakat, lebih-lebih lagi sekolah seperti ini yang diasas dan dibiayai oleh mubaligh ketika Malaya atau Malaysia tidak mempunyai sumber daya untuk mengendalikan sendiri sekolah.

Kalau melihat pada sekolah utama seperti VI, negara ini nampaknya masih tidak mampu.

Lagipun, sekolah ini termasuk VI adalah asal usul warga Malaysia yang sudah menyumbang kepada masyarakat, sama seperti mana-mana sekolah di serata negara.

Jujur saja tentang kenapa pajakan tapak CBN tidak diperbaharui. Fikirkan juga bahawa perkongsian antara Society of Maur dan kerajaan telah menjadikan CBN antara sekolah yang baik sejak 1899.

Jika tidak, kata-kata pengarah tanah dan galian tidak ubah selonggok tahi yang hanya menambah bau busuk pada kerajaan yang hilang keyakinan rakyat hari demi hari. Apatah lagi apabila pegawai kerajaan memeram isu ini sejak 2017. – 21 April, 2021.

* Jahabar Sadiq ialah ketua pengarang The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen