ITALI pada Selasa mengisytiharkan vaksin koronavirus Johnson & Johnson (J&J) sebagai “selamat” dan berkata ia akan mengutamakan penggunaannya untuk individu berusia lebih 60 tahun.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Agensi Ubatan Eropah (EMA) berkata pembekuan darah perlu disenaraikan sebagai kesan sampingan vaksin yang “sangat jarang berlaku”.
Berdasarkan keputusan itu, vaksin buatan Amerika Syarikat (AS) perlu dianggap selamat, kata pihak berkuasa kesihatan Itali dalam satu kenyataan.
Ia boleh diberikan kepada mereka yang berusia lebih 60 tahun dan kumpulan berisiko terkena virus, tambahnya.
Garis panduan yang sama sebelumnya dikeluarkan di Itali bagi vaksin AstraZeneca, yang juga dikaitkan dengan kejadian pembekuan darah yang sangat jarang berlaku.
Sementara itu, pesuruhjaya krisis koronavirus Itali berkata penghantaran pertama sebanyak 184,000 dos J&J akan diagih ke seluruh negara mulai Rabu.
Vaksin J&J dilihat lebih mudah diberikan dan dibawa berbanding beberapa pesaingnya, kerana ia hanya memerlukan satu dos dan boleh disimpan pada suhu lebih panas.
Bagaimanapun, penggunannya di Eropah ditangguhkan minggu lalu selepas pengawal selia kesihatan AS berkata vaksin itu perlu diberhentikan sementara kerana kebimbangan pembekuan darah.
Itali dan beberapa negara UE yang lain ingin memanfaatkannya bagi menyegerakan kempen vaksinasi mereka yang perlahan dan mengembalikan secepat mungkin kehidupan normal masyarakat. – AFP, 21 April, 2021.
Komen