Umno yakin kekal di Besut, kata pemimpin bahagian


Diyana Ibrahim

Umno yakin akan mengekalkan kerusi Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 walaupun PAS memilih untuk bersama Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2021.

UMNO yakin akan mengekalkan kerusi Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun lawan utamanya PAS memilih bersama Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional, kata pemimpin akar umbi bahagian.

Malah mereka yakin Umno akan merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang dimenangi PAS pada PRU14.

Umno yakin akan berjaya di Besut kerana prestasi kurang cemerlang pentadbiran PAS dan kelemahan Bersatu yang tidak mempunyai akar umbi, kata Setiausaha Umno Besut Hasmidi Hasan.

Tambahnya, hakikat bahawa Besut juga kubu kuat Umno turut menjadi faktor keyakinan mereka parti itu mampu mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU15 biarpun berdepan dengan gabungan PAS dan Bersatu.

“Besut adalah kubu kuat BN cuma masa PRU14 kita tersilap mengenai calon tapi sekarang insya-Allah kita dapat ambil balik, kalau formula 32 (kerusi DUN) dan lapan (kerusi Parlimen) dilaksanakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau merujuk hasrat Umno Terengganu bertanding di semua 32 kerusi negeri dan lapan kerusi Parlimen di negeri itu, sekali gus melanggar PAS yang sebelum ini menjalin kerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional (MN).

“Kecuali ada saat akhir perbincangan MN, itu terpulang pada pihak atasan,” tambahnya.

Ketua Pemuda Umno Besut Mohd Rozaini Mohd Rasdi turut senada namun tidak menolak ada kemungkinan Umno juga berdepan cabaran sengit di kerusi DUN Jertih sementara kerusi DUN Kota Putera juga masih berisiko.

Katanya, kemungkinan itu mengambil kira senario kerjasama PAS dan Bersatu serta pengaruh sentimen nasional dalam setiap kali pilihan raya umum, sama seperti PRU14.

“Jika Bersatu dan PAS bergabung Umno masih boleh menang kerusi Parlimen dan Hulu Besut. Cuma kemungkinan Jertih dan Kota Putera berisiko sedikit.

“Namun itu bacaan dari PRU14 yang banyak dipengaruhi sentimen pusat pada masa itu.

“Tapi untuk PRU15 kita yakin Umno masih mengekalkan kemenangan,” katanya.

Besut adalah satu daripada dua kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Umno melalui bekas menteri besar Idris Jusoh dalam PRU14, selain Hulu Terengganu. 

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid bagaimanapun kemudian keluar parti untuk menyertai Bersatu. Beliau kini timbalan menteri dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Dalam PRU14, Umno juga menang tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen Besut iaitu Kuala Besut, Jertih dan Hulu Besut tetapi kalah kerusi DUN Kota Putera kepada PAS dengan majoriti 1,181 undi.

Kota Putera ialah kerusi negeri yang mula diperkenalkan dalam pilihan raya umum 2004 dan tidak pernah dimenangi oleh PAS kecuali dalam PRU14.

Daripada empat kerusi negeri itu, Bersatu bertanding dua kerusi dalam PRU14 iaitu di Kuala Besut dan Hulu Besut, serta kerusi Parlimen.

Keluar Umno, masuk Umno semula

PAS dilihat gagal melaksanakan manifesto PRU14 menyebabkan rakyat marah dan akan menolak parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2021.

Mengulas mengenai kekuatan Bersatu, Rozaini berkata gelombang parti itu di kubu kuat Umno tidak bertahan lama kerana kebanyakan ahli yang melompat masuk Bersatu selepas pilihan raya umum lepas kini sudah menyertai Umno semula.

“Melompat selepas kalah, di semua tempat ada tidak terkecuali juga di Besut. Ada segelintir ahli parti dari cawangan yang berhijrah ke parti Bersatu. Cuma mereka tidak umum secara rasmi.

“Calon Parlimen Bersatu (masa PRU14) pun kalah pemilihan parti selepas Bersatu menang jadi kerajaan.

“Calon ini yang heret ahli Umno (masuk Bersatu) tapi selepas kepimpinan Bersatu bertukar ahli Umno ini terumbang-ambing dan kemudian balik kepada Umno,” katanya.

Bekas calon Bersatu untuk kerusi Parlimen Besut Wan Nazari Wan Jusoh kalah jawatan ketua bahagian kepada ketua penaja Mohd Husaimi Hussin dalam pemilihan parti pada Mac 2020.

PAS gagal tunai janji manifesto

Rozaini juga yakin pengundi akan menolak PN kerana prestasi kurang cemerlang kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran daripada BN yang ditunjangi Umno.

Beliau memberi satu contoh bagaimana kerajaan PAS masih gagal menunaikan janji manifesto untuk memberikan satu lot tapak rumah atau sebuah unit rumah kepada setiap rakyat yang berumur 21 tahun ke atas.

“Saya percaya walau bergabung PAS dan Bersatu tapi di Besut ini Bersatu agak susah untuk cabar kita.

“Kerajaan negeri terlalu banyak isu terutama isu pemberian tanah yang tidak sekata.

“Manifestonya satu lot tanah untuk golongan muda atau belia tetapi setakat yang saya nampak bukan golongan belia yang dapat,” katanya.

Hasmidi juga mendakwa PAS gagal melaksanakan manifesto PRU14 menyebabkan rakyat marah dan akan menolak parti itu, sama seperti kemarahan rakyat terhadap Pakatan Harapan di Putrajaya.

Beliau mendakwa hanya 20 peratus saja daripada janji pilihan raya yang sudah PAS laksanakan sejak Mei 2018.

“PAS memang banyak kelemahan contoh sekarang, menjelang raya… kalau dulu Umno akan bagi bantuan raya tapi semasa pemerintahan PAS bantuan itu tidak diteruskan.

“Hari ini pemimpin mereka banyak tumpu cari sumber kekayaan, kalau di DUN Besut pemimpin mereka banyak pertembungan. Pemimpin PAS dulu cakap lain, cakap pasal agama tapi dapat jawatan, lupa pada perjuangan asal,” katanya.

Ditanya apakah penerimaan pemimpin akar umbi bahagian jika Umno pusat memutuskan meneruskan kerjasama dengan MN, jawabnya ia bergantung pada perbincangan.

Jelasnya apa yang dimahukan Umno adalah pengagihan kerusi PRU15 yang sama rata tetapi PAS sudah mungkir.

“Kita tengok pada perbincangan. Biarlah situasi menang-menang. Ini mereka nak 22 kerusi negeri, Umno hanya dapat 10 kerusi,” katanya.

“Apa yang kita tak puas sebab PAS terus umum pengagihan kerusi tanpa ada perbincangan  atau mesyuarat terlebih dahulu.

“Mereka yang mulakan dulu… umum, kita tak ada apa sebenarnya,” katanya. – 21 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen