DR Noor Hisham Abdullah memperjelaskan keraguan yang timbul berkenaan ketepatan statistik harian Covid-19 yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pengarah kesihatan berkata data harian yang disusun tertakluk kepada pengesahan akhir daripadanya.
Beliau berkata semua negara harus memastikan statistik Covid-19 dan data klinikal yang dikemukakan adalah sahih dan tepat.
“Oleh itu, sistem pengurusan data yang digunakan perlulah telus dan mempunyai integriti,” katanya.
Beliau memberi maklum balas terhadap keraguan yang dibuat oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini terhadap kesahihan laporan kes harian Covid-19 yang dikeluarkan oleh kementerian.
Zahid menyatakan kemusykilan sama ada angka-angka yang dikeluarkan sahih atau tidak.
“Laporan kes harian Covid-19 ketika ini dilihat mencanak-canak naiknya ibarat bedilan roket membelah angkasa.
“Saya tertanya-tanya mengenai kebenaran dan kesahihan angka yang dilaporkan KKM?” tanyanya dalam satu tulisan di Facebook.
Dengan memperincikan proses tersebut Noor Hisham berkata hasil ujian dikumpulkan dari klinik kesihatan dan hospital kerajaan serta swasta melalui Sistem Maklumat Makmal Kesihatan Awam.
Sistem itu katanya dipantau secara ketat oleh kementerian melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi memastikan tindakan susulan sewajarnya dapat diambil.
“Data dari semua negeri diterima selewat-lewatnya pada jam 12 tengah hari oleh pasukan pengurusan data di CPRC Kebangsaan.
“Seterusnya data ini dianalisa dan diverifikasi sebelum ianya didaftarkan,” katanya.
Setelah data diperiksa oleh petugas di CPRC, data tersebut akan digunakan untuk analisis epidemiologi bagi menentukan tren kes, kadar kebolehjangkitan, kluster-kluster Covid-19, kapasiti hospital dan makmal serta keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan.
“Kesemua maklumat yang telah disemak ini kemudiannya akan disunting untuk penyediaan Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan dan perlu mendapat pengesahan akhir oleh Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.
Noor Hisham berkata proses itu dijalankan setiap hari oleh petugas-petugas di lapangan serta di Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan juga CPRC Kebangsaan.
“Semua anggota kesihatan yang terlibat dalam pengurusan data di peringkat daerah sehingga ke peringkat kebangsaan adalah tertakluk kepada undang-undang berkaitan dan diwajibkan untuk menjaga kerahsiaan data pesakit-pesakit COVID-19.
“Oleh itu tidak timbul sebarang kesangsian terhadap sistem pengurusan data COVID-19 dan juga data harian yang dikongsikan KKM kepada umum,” katanya.
Malaysia menyaksikan peningkatan dalam kes aktif sejak 7 April sementara kes harian kekal dalam empat angka.
Hari ini negara melaporkan 2,341 kes baharu dalam 24 jam terakhir sementara kes pulih berjumlah 1,592. – 20 April, 2021.
Komen