7 kluster baharu Covid-19, 4 berkait penularan komuniti 


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster penularan komuniti mendominasi senarai kluster baharu yang direkodkan hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2021.

TUJUH kluster baharu Covid-19 dikesan pihak berkuasa kesihatan hari ini, dengan penularan komuniti mendominasi senarai, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada tujuh kluster berkenaan, empat adalah kluster komuniti, dua berkait sektor pendidikan dan satu berkait tempat kerja.

Dua daripada kluster komuniti dilaporkan di Sarawak, dengan Sungai Rian melaporkan kes paling tinggi yang mana 48 orang disahkan positif koronavirus.

Yang lain, Kampung Tengah Bentong, melaporkan 15 kes positif.

Kluster komuniti ketiga adalah di Selangor iaitu Jalan Meranti yang merekodkan sembilan kes positif.

Yang keempat adalah kluster Taman Dato Senu di Kuala Lumpur yang melaporkan 12 jangkitan.

Jangkitan di kluster komuniti di Selangor dan Kuala Lumpur berpunca daripada majlis yang diadakan di lokaliti masing-masing, kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Bagi kluster melibatkan institusi pendidikan, beliau berkata ia dilaporkan di Kelantan dan Pulau Pinang.

Kluster Jalan Pasir Mas - Pohon Tanjung dikesan di institusi pendidikan melibatkan daerah Pasir Mas dan Tanah Merah di Kelantan yang mana 28 kakitangan dan pelajar dijangkiti. 

Kluster pendidikan lain adalah Jalan Padang Lalang, dikesan di sekolah kerajaan di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Ia merekodkan sembilan kes melibatkan pelajar.

Satu-satunya kluster tempat kerja hari ini adalah Hala Kampung Jawa dikesan dalam kalangan pekerja kilang di Pulau Pinang dengan 23 kes. 

Tujuh kluster baharu menjadikan jumlah kluster 1,541, yang mana 240 adalah aktif dan 67 melaporkan kes baharu hari ini. 

Kluster yang melaporkan kes jangkitan baharu tertinggi hari ini adalah Pulai Chondong dengan 79 kes, diikuti Kampung Domis (51 kes) dan yang baharu dikesan Sungai Rian (47 kes).

Dr Noor Hisham berkata tujuh kluster lain ditamatkan hari ini menjadikan kluster yang tidak aktif 1,201.– Bernama, 20 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen