Perkembangan program imunisasi Covid-19 perlahan, kata Anwar


Ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata setakat hari ini kurang 3% rakyat Malaysia yang mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2021.

PERKEMBANGAN perlahan program imunisasi nasional Covid-19 di negara ini tidak boleh diterima, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

“Kita sepatutnya bersiap siaga untuk memperolehi vaksin yang berkesan sejak berbulan yang lalu. Prestasi gerak kerja kita sekarang memang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat hari ini kurang 3% rakyat Malaysia yang mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19.

“Sementara menteri yang bertanggungjawab menyalahkan negara kaya kerana memonopoli pasaran, sekali gus mengehadkan akses Malaysia terhadap bekalan vaksin, saya dimaklumkan beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan berusaha sendiri memperolehi bekalan vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Ia sebagai respons terhadap kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini. Usaha mereka bagaimanapun tergantung lantaran sering dilengahkan oleh kementerian terbabit,” katanya.

Presiden PKR itu berkata beliau amat terganggu dengan sikap pihak atasan kementerian yang ternyata begitu lembab.

“Kerajaan negeri Selangor misalnya, terpaksa menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, meskipun mereka memperuntukkan dana sendiri bagi mendapatkan dua juta dos buat rakyat negeri itu.

“Saya turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali.

“Juga dilaporkan vaksin Sinopharm dijangka tiba pada Mei nanti, namun sehingga Mac kita masih belum pasti sama ada kelulusan diberikan, sekali gus menambah timbunan masalah yang menanti penyelesaian,” katanya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sibuk memikirkan cara untuk mengawal keseluruhan proses dari A sampai Z, sehingga mengakibatkan kelengahan yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata matlamat kerajaan pusat adalah memastikan seluruh rakyat Malaysia memperolehi vaksin yang selamat dan berkesan dengan sesegera mungkin, namun kerajaan pusat tidak perlulah menguruskan semuanya, daripada membeli sehinggalah menyuntik setiap dos.

Katanya, setiap kerajaan negeri memiliki jaringan dan kemampuan tersendiri untuk memperolehi vaksin yang barangkali mengatasi keupayaan kerajaan pusat.

“Ada juga syarikat swasta yang bersedia untuk membelanjakan sejumlah wang bagi memvaksinkan pekerja dan keluarga mereka, meskipun dengan harga yang mahal,” katanya.

Katanya, ada juga yayasan dan pertubuhan kebajikan yang bersedia menyokong usaha vaksinasi di kawasan setempat.

“Ada ratusan ribu, bahkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang sanggup membayar sejumlah wang agar dapat divaksin, sama ada di hospital swasta atau klinik. Jika kini kita menggunakan pendekatan yang melibatkan semua, mengapa tidak kita menfaatkan sumber yang ada secara menyeluruh?,” katanya.

Anwar berkata kadar vaksinasi kita boleh bertambah dua atau tiga kali ganda lebih pantas daripada kadar sekarang, yang ternyata begitu lesu, jika semua pihak diberikan sokongan dan peranan.

“Saya menuntut dua perkara. Pertamanya, kerajaan pusat mestilah bertindak pantas dan menyokong penuh usaha kerajaan negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan perolehan terhadap vaksin yang diluluskan demi meningkatkan kadar kesegeraan vaksinasi.

“Keduanya, saya menuntut satu siasatan bebas dilakukan di bawah lembayung Parlimen untuk mencari punca lembabnya kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri dan sektor swasta,” katanya. – 20 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen