Umno, BN masih sukar digugat, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Umno dan Barisan Nasional masih sukar digugat walaupun parti Melayu itu kelihatan bertelagah sesama sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2021.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih sukar digugat walaupun parti Melayu itu kelihatan bertelagah sesama sendiri, kata penganalisis politik.

Mereka berkata kelemahan yang dilihat pada Umno tidak membabitkan struktur parti secara keseluruhan sebaliknya hanya pada peringkat pemimpin parti. 

Pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata hakikatnya, ahli-ahli Umno di akar umbi masih setia kepada parti dan umumnya tidak cawangan yang terpaksa dibubar kerana perselisihan dalaman parti.

“Masih sukar untuk Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk menggantikan Umno dan BN selepas PRU15 akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Awang Azman, Bersatu juga tidak dilihat kuat kerana parti itu tidak lagi didukung komponen Pakatan Harapan (PH) seperti Amanah dan DAP, selepas percaturan politik setahun pada Mac lalu. 

BN juga katanya tidak terkesan namun komponennya MCA dan MIC dilihat semakin tidak relevan mewakili kaum masing-masing.

“Hal ini kerana keahlian Bersatu masih kurang ramai dan kekuatan Bersatu tak lagi didukung oleh PKR dan DAP seperti PRU14 dahulu.

“BN khususnya Umno mampu bertahan jika keadaan ini berterusan cuma MCA dan MIC dilihat semakin kurang relevan kerana pengundi Cina dan India lebih memilih PH sebagai pilihan utama.

“Bersatu pula perlu masa untuk kukuhkan kedudukan dan jika PRU dalam tahun ini diadakan Bersatu belum dapat mengukuhkan kedudukan,” katanya.

Keadaan itu katanya mungkin berubah sekiranya Bersatu berjaya menambah bilangan cawangan dan juga ahli mereka.

Sementara itu pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, hanya dengan perpecahan dan kelemahan Umno mampu memberi kelebihan kepada Bersatu dan PN.

“Jika Umno dibatalkan akan cetus senario berbeza. Bersatu nampak ada kelebihan, kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ada kuasa tawar menawar dan boleh menentukan senario politik semasa di mana beliau mungkin dapat kelebihan sebagai pemegang kuasa,” katanya.

Mazlan berkata, sekiranya Umno tidak menunjukkan tanda-tanda retak dalam parti dapat diubati beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai pemimpin Umno akan menyokong Muhyiddin.

“Jika Umno terus lemah Umno akan hilang kepercayaan rakyat ini kelebihan buat Bersatu dan PN akan datang.

“Oleh kerana kedudukan Umno yang tak menentu kerana perpecahan mereka, pada masa sama Umno berisiko kemungkinan dibatal pendaftarannya kerana ada kes membabitkan wang 1MDB yang dikatakan diterima Bahagian Umno,” kata Mazlan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat ada kuasa tawar menawar dan boleh menentukan senario politik semasa di mana beliau mungkin dapat kelebihan sebagai pemegang kuasa,

Penganalisis politik di Ilham Center bagaimanapun melihat sukar untuk Bersatu dan PN mengantikan Umno dan BN.

Pengarah Eksekutifnya Hisommuddin Bakar berkata, walaupun rakyat agak kritikal terhadap pentadbiran PN namun mereka yakin PN adalah kerajaan yang mengawal naratif Melayu.

“Pandangan agak kritikal kepada PN sekarang tapi kelebihan PN pula adalah mereka berjaya kawal naratif agenda Melayu. 

“Agak seimbang apabila sesetengah isu masalah rakyat nampak tak selesai tapi di pemikiran orang Melayu ini kerajaan yang mereka selesa. 

“Tidak ada isu besar sentuh sensitiviti Melayu. Untuk keseluruhan macam tidak ada rungutan yang tinggi kepada PN tentang agenda Melayu,” katanya.

Jelas Hisomuddin, sama ada Bersatu boleh menggantikan Umno atau tidak adalah isu yang akan jadi perdebatan.

“Pro PN kata Umno akan terkeluar daripada politik kerajaan arus perdana dan agenda perpaduan ummah Melayu jika keluar daripada PN.

“Bagi penyokong Umno mereka rasa Umno akan bertahan di luar kerajaan kerana sokongan akar umbi Umno,” katanya.

Petunjuknya, kata Hisommuddin, walaupun badai teruk serangan PH terhadap Umno pada 2018, Umno masih menang 54 kerusi Parlimen.

“Dengan unjuran ke depan Umno akan mendapat keuntungan lebih kerana undi protes kepada Umno sudah patah balik kepada Umno, masih berlaku percanggahan hujah, siapa yang memiliki naratif Melayu. 

“Parti mana akan dapat kepercayaan Melayu untuk membela nasib mereka,” katanya. 

Malah, pengundi juga katanya seakan tepu dengan persoalan politik hari ini.

“Bagi saya sama ada mereka protes kepada kerajaan atau tak keluar mengundi. 

“Mereka ada juga yang rasa Umno pulih daripada isu yang terbelit pada 2018 tetapi ralat kepada Umno ialah perpecahan kalangan pemimpin tertinggi yang tak tegas buat keputusan bersama atau keluar kerajaan,” tambahnya.

Katanya, pengundi dan ahli Umno juga katanya menggunakan populariti bekas Perdana Menteri Najib Razak sebagai petunjuk dan rujukan mereka.

“Akar umbi rasa paling tepat Umno tak bersama kerajaan. Mereka lihat ketidak popular kerajaan heret Umno. Jadi Umno kena putuskan hubungan dengan kerajaan kerana ia mengheret Umno.

“Mengutamakan rakyat, berada di pihak benar walaupun terpaksa tegur kerajaan. Isu yang disentuh menyentuh hati rakyat.

“Jadi perkara ini kontra dengan PN yang dilihat seolah hilang arah, pengundi Melayu kata seolah kami redha saja dengan kerajaan. 

“Nak lawan tak boleh,nak kritik tak boleh… darurat,” tambahnya. – 20 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen