POLIS hanya akan meluluskan permohonan pergerakan rentas negeri antara Isnin hingga Khamis sahaja, dan hanya bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Peraturan baharu itu bagaimanapun diberi pengecualian sekiranya melibatkan soal kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.
“Sekiranya permohonan pergerakan diluluskan, ia hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja.
“Manakala pergerakan pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad tidak akan diluluskan. Ini tidak termasuk bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Katanya, peraturan baharu ini dibuat untuk mengekang penularan Covid-19 susulan peningkatan kes baharu sejak empat hari lalu, yang mencecah lebih 2,000 setiap hari.
“Pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian yang hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik-beradik sahaja; perubatan; pendidikan serta pasangan jarak jauh,” katanya.
Acryl juga berkata rentas negeri bagi tujuan sosial termasuk menghadiri kenduri kahwin dan sebarang jenis majlis lain adalah dilarang, lapor Bernama.
Peraturan baharu ini jelasnya akan berkuat kuasa sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” katanya.
Malaysia hari ini mencatatkan 2,078 kes baharu Covid-19, menjadikan hari kelima kes yang dikesan dalam tempoh setiap 24 jam melepasi angka 2,000 sejak 15 April lalu.
Sejumlah 63 kluster merekodkan kes baharu hari ini daripada 340 kluster yang dipantau oleh Kementerian Kesihatan.
Kementerian Kesihatan juga hari ini mengumumkan lapan lagi kematian menjadikan korban akibat jangkitan Covid-19 sejak setahun lalu kini 1,386 orang.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata pihaknya mencadangkan agar tiada kebenaran diberikan untuk rentas negeri bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijadual disambut oleh umat Islam pada pertengahan Mei.
Adham juga berkata kerajaan tidak teragak-agak akan menutup operasi bazar Ramadan sekiranya ada kluster melibatkan aktiviti bazar.
Sementara itu, Acryl berkata semua ketua polis daerah dan pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan digerakkan ke semua lokasi bazar Ramadan dan pasar malam bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, kita akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan tersebut dihentikan,” katanya. – 19 April, 2021.
Komen