Ura-ura kerjasama Umno, PKR untungkan komponen Pakatan, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Khabar angin mengenai kerjasama antara Umno dan PKR dilihat memberi kesan positif kepada komponen Pakatan Harapan terutama PKR dan Amanah, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2021.

URA-ura mengenai kerjasama Umno dan PKR memberi kesan positif kepada komponen Pakatan Harapan (PH), terutama PKR dan Amanah, kata penganalisis.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azan Awang Pawi berkata, khabar angin sedemikian memberi kesan terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Namun, Awang Azman berkata ia bergantung kepada kelompok Melayu tertentu selain tahap literasi politik mereka, termasuk latar pendidikan dan demografi politik pengundi berkenaan.

“Khabar angin politik macam ini membantu imej parti komponen PH seperti Amanah dan PKR.

“Kalangan pengundi Melayu bandar lebih terbuka dan dinamik manakala di luar bandar sebaliknya,” katanya.

Menurut Awang Azman, ini kerana imej PKR lebih dikenali di kawasan bandar dan separa bandar, manakala Amanah pula lebih dikenali di kawasan luar bandar.

“Pada pendapat saya peluang PKR lebih tinggi di bandar dan pinggir bandar manakala Amanah lebih sesuai bertanding di luar bandar khususnya kawasan dikuasai PAS.

“Ini kerana matlamat penubuhan parti Amanah untuk mengambil alih peranan parti PAS, sebagaimana matlamat penubuhan Bersatu untuk mengambil alih peranan parti Umno,” katanya.

Namun beliau menjangka usaha untuk meyakinkan akar umbi kedua-dua parti yang berseteru sejak 20 tahun lalu itu akan menempuh jalan yang amat sukar.

“Agak sukar menyakinkan penyokong akar umbi masing-masing. Umno misalnya masih lagi dibelenggu oleh propaganda kononnya PKR ialah sebuah parti liberal dan sekular.

“Manakala di pihak akar umbi PKR didakyah Umno ialah parti kuat mengamalkan budaya politik wang dan tak sesuai dengan perjuangan reformasi mereka,” katanya.

Penganalisis berkata kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional membuka peluang Amanah dan PKR untuk menarik sokongan pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2021.

Kalangan pemimpin Amanah pula berpendapat, bagaimanapun menolak cakap-cakap bahawa kerjasama itu mengubah sokongan dalam kalangan pengundi.

Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin berpendapat, sokongan politik orang Melayu kepada parti tertentu tidak bersandarkan kepada gosip politik seperti kerjasama Umno-PKR.

Sebaliknya, komuniti Melayu cenderung memilih parti yang mempunyai sikap dan pendirian yang memihak kepada mereka dan parti dengan perkhidmatan dan jasa membela rakyat, katanya.

“Sikap, pendirian, khidmat, jasa dan pembelaan kepada taraf hidup rakyat adalah indikator utama yang melentur nurani orang Melayu untuk memilih,” katanya.

Beliau juga berpendapat pengundi akan menolak usaha mempergunakan bangsa dan agama untuk kepentingan politik.

“Pembohongan atas nama bangsa dan agama lama-kelamaan akan terbongkar dan kini telah pun gagal disebabkan kegagalan PAS dan Umno dalam kerajaan,” kata Shazni Munir.

Jelasnya, pengundi dapat melihat gabungan PAS dan Umno itu gagal membela kepentingan bangsa dan agama.

“Kalau waktu pembangkang, penunggang bangsa dan agama sakan meniupkan sentimen perkauman, namun bila mereka berkuasa ternyata mereka telah gagal membela kepentingan Melayu dan Islam,” kata Shazni.

Tambahnya, kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka peluang Amanah dan PKR untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Tambahan pula, rakyat tidak merasa dana RM600 bilion yang menurut Muhyiddin sudah dibelanjakan kerajaan sebagai bantuan, katanya.

Mengulas mengenai ura-ura kerjasama dengan Umno itu, Ketua Penerangan PKR Perak, Raja Azam Shah Raja Omar Ikram berkata beliau yakin partinya kekal dalam Pakatan Harapan.

“PKR amat komited dengan perjuangan PH dan kita tetap akan berganding bahu bersama DAP dan Amanah dalam menghadapi PN dalam PRU akan datang,” kataya lagi 

Katanya, beliau yakin kerjasama tersebut menjamin peluang komponen PH itu cerah di kawasan bandar, terutamanya di kawasan yang pernah dimenangi mereka.

“Pada pendapat saya, peluang PKR dan Amanah di majoriti Melayu bandar amatlah baik skali persis PRU14 yang lalu. 

“Malah kita percaya akan menang besar di kawasan-kaasan tradisi bandar yang PH tandingi,” katanya.

Beliau turut yakin sokongan di kawasan luar bandar terhadap mereka menunjukkan peningkatan. – 20 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen