14 kluster baharu Covid-19 hari ini, 6 berkaitan pendidikan


Sebanyak 14 kluster baharu Covid-19 dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh 24 jam terakhir dengan sektor pendidikan mendominasi dalam senarai berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2021.

SEBANYAK 14 kluster baharu Covid-19 dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh 24 jam terakhir dengan sektor pendidikan mendominasi dalam senarai berkenaan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata sebanyak enam kluster berkaitan pendidikan dikesan dengan lima di institusi pendidikan dan satu di sekolah kerajaan.

Selain itu Noor Hisham berkata empat komuniti, tiga tempat kerja dan satu kluster agama juga dikenal pasti.

Tiga kluster masing-masing dikesan di Kelantan, Sarawak dan Johor; dua di Kedah dan masing-masing satu di Sabah, Perak dan Selangor.

Noor Hisham berkata kluster Jalan Hospital dalam kalangan pelajar dan kakitangan di sebuah sekolah di Pasir Mas, Kelantan adalah penyumbang terbesar di antara kluster berkaitan pendidikan dengan 50 orang diuji positif koronavirus.

Dua kluster pendidikan lain yang dikesan di Kelantan adalah Tangok dan Pulau Chondong yang masing-masing melaporkan 15 dan 23 kes positif.

Kluster pendidikan lain adalah Jalan Tagasan di Sabah dengan enam kes, Jalan Medan Aliff di Johor dengan sembilan kes dan Jalan Weng di Kedah dengan 11 kes.

Noor Hisham berkata di antara kluster komuniti, Sarawak sahaja melaporkan tiga kes dengan Sg Duan di daerah Mukah mencatat paling banyak kes hari ini dengan 84 kes.

Dua kluster lain di negeri ini adalah Sg Passin (49 kes) dan Sg Selitut (18).

Satu-satunya kluster berasaskan komuniti yang dikesan di luar Sarawak adalah Jalan Bandar Universiti, Perak yang mencatatkan 13 kes positif.

Selain itu Noor Hisham berkata bahawa di antara tiga kluster tempat kerja yang dikesan, Jalah Sulah 16 di Klang, Selangor melaporkan paling banyak kes iaitu 46 diikuti Jalan Cahaya Baru di Johor dengan 20 kes dan Taman Siber juga di Johor dengan sembilan kes.

Bayan Cenderawasih, kluster agama melaporkan 10 kes.

Secara keseluruhan 14 kluster melaporkan sebanyak 363 kes positif.

Penambahan kluster hari ini menjadikan jumlah kluster virus di negara ini menjadi 1,534 di mana 340 masih aktif dan 63 daripadanya masih melaporkan kes baharu.

Noor Hisham berkata sebanyak 12 kluster ditamatkan hari ini dengan jumlah kluster menjadi 1,194. – 19 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen