Program vaksin fasa kedua di Selangor ditangguhkan, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sudah berbincang dengan beberapa pengeluar vaksin yang lain termasuk Novavax, sebuah syarikat bioteknologi yang berpusat di Maryland, AS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2021.

PELAKSANAAN fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ditangguhkan di Selangor susulan terdapatan tunggakan yang melibatkan penerima daripada fasa sebelumnya, kata Khairy Jamaluddin.

Khairy, yang juga menteri penyelaras program berkata barisan hadapan di negeri ini masih menerima dos kedua vaksin, yang menyebabkan tarikh permulaan fasa kedua di negeri ini dianjakkan kepada 26 April.

Imunisasi fasa dua di seluruh negara bermula hari ini.

“Kami mempunyai sedikit tunggakan di Selangor kerana negeri ini masih menyuntik barisan hadapan dari fasa satu.

“Jadi, apabila sudah selesai, maka fasa kedua akan bermula di Selangor pada 26 April,” katanya pada sidang media mingguannya mengenai program vaksinasi.

Khairy berkata pada masa ini, sejumlah 258,783 barisan hadapan di seluruh negara belum menyempurnakan dos kedua vaksin.

Beliau berkata sehingga hari ini, 443,029 orang sudah menerima kedua-dua dos vaksin mereka, sementara 701,812 orang menerima satu dos pada fasa pertama program vaksinasi.

Khairy juga berkata sebanyak 8,992,832 orang - atau 37% - sudah mendaftar untuk program ini.

“Ini adalah peningkatan sebanyak 5% sejak minggu lalu dan ini adalah petanda positif,” katanya.

Fasa pertama vaksinasi adalah dari Februari hingga April, yang melibatkan 500,000 orang barisan hadapan, termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos tahun ini, melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, dan orang kurang upaya.

Fasa ketiga yang dijadualkan Mei hingga Februari 2022, untuk individu berusia 18 tahun ke atas, yang menyasarkan sekitar 14 juta orang. – 19 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen