Federer sahkan kembali beraksi di Terbuka Perancis


Pemain tenis terkemuka Switzerland Roger Federer, yang akan mencecah usia 40 tahun pada Ogos, menjalani dua pembedahan di lutut kanannya tahun lalu. – Gambar EPA, 19 April, 2021.

PEMAIN tenis terkemuka Switzerland Roger Federer pada Ahad mengesahkan akan beraksi pada Terbuka Perancis di Roland Garros dan Terbuka Geneva tahun ini. 

“Gembira untuk bagi tahu anda semua saya akan bermain di Geneva dan Paris. 

“Saya akan menggunakan masa yang ada untuk berlatih. Tidak sabar untuk kembali beraksi di Switzerland,” tulis Federer di akaun Twitternya lapor Agensi Berita Xinhua.

Juara Grand Slam sebanyak 20 kali itu yang akan mencecah usia 40 tahun pada Ogos, menjalani dua pembedahan di lutut kanannya tahun lalu.

Federer kembali beraksi bulan lalu di Doha, Qatar dan berjaya mara ke suku akhir.

Terbuka Perancis tahun ini akan membuka tirai pada 30 Mei, seminggu lebih awal berbanding jadual kerana penganjur mahu lebih ramai peminat hadir meskipun di tengah pandemik Covid-19.

Kali terakhir Federer menyertai Roland Garros ialah pada 2019 dan tewas kepada Rafael Nadal di gelanggang separuh akhir. – Bernama, 19 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen