Dr Noor Hisham perlu lebih jelas tentang keberkesanan vaksin, kata Ong


Pada 17 April, Dr Noor Hisham Abdullah gesa orang ramai mematuhi SOP ketat walaupun mereka sudah menerima suntikan vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2021.

KENYATAAN Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini berkenaan keberkesanan vaksin Covid-19 boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk mengimunisasi orang ramai, kata Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata Dr Noor Hisham perlu memberi penjelasan lebih baik berkenaan petugas barisan hadapan yang dijangkiti Covid-19 selepas menerima suntikan dos pertama dan kedua vaksin itu.

“Saya percaya maksud KP kesihatan baik mahu mengingatkan kita supaya terus mematuhi SOP walaupun selepas mendapatkan suntikan vaksin, tetapi saya rasa kenyataan beliau perlu dijelaskan dengan lebih baik.

“Contohnya, beliau boleh kata hanya 142 petugas kesihatan dijangkiti daripada kira-kira 500,000 petugas kesihatan yang menerima dos pertama mereka, atau hanya 0.03%.

“Dan beliau boleh tambah hanya 40 petugas kesihatan daripada 300,000 dijangkiti selepas menerima dos kedua vaksin (atau hanya 0.01%),” kata wakil rakyat DAP itu di Facebook hari ini.

Beliau berkata kenyataan Dr Noor Hisham boleh menyebabkan orang ramai menyalahkan petugas kesihatan kerana tidak mematuhi SOP.

“Saya minta KP kesihatan memberi penjelasan lebih lanjut kenyataannya supaya kita dapat mengembalikan keyakinan dalam pendaftaran dan proses pengambilan vaksin.

“Kita perlu pastikan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 berjaya dilaksanakan demi kesihatan dan kesejahteraan ekonomi negara ini,” katanya.

Ong mengulas posting Dr Noor Hisham di Facebook baru-baru ini, di mana ia menerima kecaman pengguna media sosial.

Beliau berkata posting Dr Noor Hisham itu memberi gambara vaksin tidka begitu berkesan dalam mencegah seseorang daripada dijangkiti virus Covid-19.

Pada 17 April, Dr Noor Hisham menggesa orang ramai mematuhi SOP ketat walaupun mereka sudah menerima suntikan vaksin.

Katanya, individu masih boleh dijangkiti selepas menerima dos lengkap vaksin. – 19 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen